KUALA KANGSAR: Mungkin ramai yang terlepas pandang atau langsung tidak tahu tentang kewujudan Batu Kilometer (KM) 0 atau sifar yang terdapat di beberapa buah lokasi di negeri ini.

Sebelum bercakap lebih lanjut mengenai fungsi Batu KM 0 ini, difahamkan batu penunjuk jarak itu hanya ada di lokasi tertentu di Malaysia dan kebiasaannya terletak dekat pejabat pos sesebuah bandar.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, Batu KM 0 merupakan simbolik kepada titik permulaan jarak sesebuah bandar atau jalan raya.

Jelasnya, ia juga merangkumi tiga maksud utama iaitu KM 0 bandar, KM 0 jalan dan KM 0 negara.

"Tidak semua bandar di negara ini mempunyai batu ini, tidak pasti mengapa tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah buat batu ini lama dahulu.

"Di Malaysia, hendak kata banyak tidak juga. Hanya ada lebih kurang 20 hingga 30 saja.

"Kalau di Perak KM 0 ada di Tapah, Tanjung Malim, Pulau Pangkor dan terbaharu di Kuala Kangsar.

"Signifikan kepada batu itu juga merujuk kepada titik kepada pusat bandar, bermaksud pusat bandar terletak di situ," katanya ketika ditemui baru-baru ini.



Ditanya mengapa ia diletakkan dekat dengan pejabat pos, beliau memberitahu ia disebabkan pada waktu dahulu Pejabat Pos menjadi nadi atau sistem perhubungan utama negara.

"Dahulunya Pejabat Pos merupakan sistem perhubungan utama, mereka akan menghantar surat dan sebagainya, jadi lokasi Pejabat Pos ini sememangnya dekat dengan laluan utama.

"Kebiasaannya pejabat pos dijadikan sebagai titik kilometer sifar bagi sesebuah bandar.

"Kalau di Perak setahu saya ada empat sahaja atau mungkin ada lagi yang belum diteroka, dan baru-baru ini Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) pula mengambil inisiatif untuk wujudkan Batu KM 0 itu di sini," katanya lagi.

Menerusi carian, KM 0 di semenanjung Malaysia merangkumi antaranya Kangar, Klang, Puchong, Kuala Lumpur, Butterworth, Johor Bahru, Tapah, Kuala Lipis, Pulau Pangkor, Tanjung Balau, Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Seremban, Tanjung Malim dan Kuala Kangsar.