KUALA LUMPUR: Malaysia harus beralih daripada hanya menjadi lokasi pusat data, kepada menjadi peneraju global dalam reka bentuk, pembuatan, dan eksport infrastruktur pusat data.


Ringkasan AI
  • Malaysia bercadang untuk menjadi peneraju global dalam reka bentuk, pembuatan, dan eksport pusat data, bukan sekadar lokasi pusat data.
  • Rafizi Ramli menyatakan bahawa kerajaan akan membangunkan ekosistem pusat data dan memastikan pelan RMK13 melibatkan industri E&E, aeroangkasa, dan automotif.
  • Malaysia juga memantau kesan ekonomi global susulan kemenangan Donald Trump dan bersedia menghadapi perubahan pentadbiran AS.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang melihat untuk mewujudkan ekosistem pusat data, di mana Malaysia boleh mengambil bahagian dalam rantaian nilai dan mula mengeksport pusat datanya sendiri ke seluruh dunia.

“Kita mahu mengelak situasi di mana Malaysia hanya menarik pusat data, tetapi tidak dapat memasuki rantaian nilai dan rantaian bekalan pusat data.

“Kita telah melihat cara bagaimana untuk mengusahakan beberapa intervensi pemangkin untuk mewujudkan ekosistem supaya menjelang akhir dekad ini, Malaysia juga boleh mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai pusat data.

“Paling utama dengan mendapat manfaat daripada pusat data sedia ada dan seterusnya di negara ini, tetapi yang lebih penting bagi kita untuk mula mengeksport pusat data kita sendiri ke seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) Industri Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di ibu negara, pada Isnin.

Jelas Rafizi, Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang menjadi pengeksport global pusat data dengan menawarkan pelbagai kepakaran, termasuk reka bentuk sistem pusat data serta pembuatan cip dan komponen.

Dalam masa yang sama, Rafizi berkata kerajaan akan memastikan pelan RMK13 yang sedang dirangka itu akan turut melibatkan industri elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, dan automotif.

Ini bagi untuk  perancangan yang dibuat oleh kerajaan dan industri akan dapat diselaraskan.

“Tujuan utama adalah untuk memastikan industri kita beralih dari industri yang memasang ke industri mereka dan mencipta.

“Tema RMK13 bagi industri ialah peralihan itu, selaras dengan pencapaian Malaysia yang dijangka akan diiktiraf sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2028,” katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi memaklumkan Malaysia sedang memantau sebarang implikasi yang mungkin terhadap ekonomi global dan tempatan, susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Kata Rafizi, seperti juga negara lain, Malaysia juga bersedia dengan apa sahaja kesan perubahan yang akan dibawa pentadbiran baharu AS.

“Sementara kita akan menunggu beberapa pengumuman seterusnya (mengenai dasar ekonomi baharu AS), kita akan memerhatikan bagaimana pentadbiran Trump akan memberi kesan kepada ekonomi global dan tempatan.

“Banyak perancangan Malaysia, mengenai semikonduktor dan peralihan tenaga, didorong oleh keperluan domestik negara dan bersifat struktur.

“Ini bermakna ia adalah sesuatu yang perlu kita lalui untuk menyediakan industri dan ekonomi kita menjadi lebih teguh. Jadi dari segi itu, saya fikir semua pembaharuan utama yang perlu dilakukan masih perlu dilakukan.

“Walau bagaimanapun, kita masih perlu cepat dan tangkas agar kita dapat bertindak balas terhadap sebarang jenis perubahan geopolitik dan antarabangsa yang mungkin timbul daripada perubahan pentadbiran, bukan sahaja di AS tetapi juga rakan perdagangan besar yang lain,” ujarnya.