KUALA LUMPUR: Penubuhan pusat data dan wilayah awan (cloud region) Google pertama di Malaysia, bakal mengukuhkan operasi perkhidmatan terkenal mereka seperti Search, Maps dan Workspace.


Ringkasan AI
  • Google akan membuka pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia, memperkuat perkhidmatan seperti Search, Maps, dan Workspace.
  • Pusat data ini akan mendukung teknologi AI dan menyediakan sambungan langsung di Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
  • Pelaburan terbesar Google di Malaysia ini membina kerjasama dengan kerajaan untuk memajukan transformasi digital dan keselamatan siber.


Google dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kesemua perkhidmatan yang tersedia itu digunakan berbilion orang dan organisasi di seluruh dunia setiap hari, termasuk di Malaysia sendiri.

“Pusat data dan wilayah awan ini juga bakal memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan kelebihan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara.

“Apabila beroperasi kelak, Malaysia bakal menyertai 11 negara yang telah pun mempunyai pusat data Google, dan kini sedang menyediakan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.

Google berkata, wilayah awannya akan menyampaikan perkhidmatan latensi rendah dan prestasi tinggi kepada syarikat besar, syarikat pemula, serta organisasi sektor awam.

Pengguna Awan Google akan menikmati kawalan yang membolehkan mereka mengekalkan keselamatan tertinggi, residensi data, serta standard pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data yang tinggi.

Google berkata, wilayah awan itu akan dilengkapi dengan lokasi Kesalinghubungan Awan Dedikasi di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, yang menyediakan sambungan terus antara rangkaian organisasi di premis, dan rangkaian Awan Google di peringkat global.

Malaysia, bakal menyertai 40 rantau dan 121 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia.

Dalam kenyataan tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet, iaitu syarikat induk Google berkata, pusat data Google dan wilayah awan ini merupakan pelaburan terancang yang terbesar di Malaysia, sebuah tempat yang Google dengan bangga boleh katakan sebagai rumah untuk tempoh 13 tahun.

“Ini merupakan pelaburan yang terbina atas kerjasama kami dengan Kerajaan Malaysia untuk memajukan lagi Polisi Pertama Awan, termasuk standard keselamatan siber yang terbaik dalam kelasnya,” katanya lagi.

Dengan pengumuman tersebut, Porat berkata, Malaysia dan Google akan terus mengukuhkan kerjasama untuk membina ekosistem penyokong bagi inovasi, serta membuka potensi transformasi digital.