GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan akan menangani isu pembangunan tenaga kerja dalam Bajet 2023 untuk mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelbagai sektor ekonomi berdepan isu kekurangan tenaga kerja yang mencetuskan keperluan untuk menumpukan kepada langkah-langkah seperti membantu syarikat dalam usaha menambah kemahiran tenaga kerja mereka.

"Perlu ada peruntukan bajet yang lebih untuk pusat latihan dan kemahiran. Jika kita tidak dapat menambah kemahiran tenaga kerja kita, kita akan kehilangan kelebihan kompetitif kita di rantau ini.

Meskipun para pelabur cenderung untuk melihat kepada banyak faktor seperti prasarana dan ekosistem sebelum melabur di pasaran baharu, Chow berkata aspek tenaga kerja boleh menjadi faktor utama bagi sesebuah negara untuk mendahului pesaingnya.

Selain itu, beliau berkata isu pengambilan pekerja asing juga terus menghantui syarikat di sini dan kegagalan untuk menanganinya akan menjejaskan keupayaan negara untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Sementara itu, rakan pengurusan EY Malaysia Datuk Abdul Rauf Rashid berkata pembukaan pejabat baharu itu membuktikan komitmen EY untuk mengembangkan perniagaannya di Pulau Pinang serta bekerjasama dengan pemegang kepentingan utama dalam kerajaan, perniagaan dan ahli akademik untuk membimbing dan membangunkan tenaga kerja dalam bidang perniagaan dan teknologi di Pulau Pinang dan juga Malaysia secara keseluruhan.

"Ini sejajar dengan dan menyokong agenda pembangunan tenaga kerja digital dan teknologi negara seperti yang digariskan dalam rangka tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan aspirasi kami untuk menjadikan pejabat EY di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai Pusat Kecemerlangan EY di rantau Asia Pasifik," katanya.

-- BERNAMA