Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menandatangani suatu perjanjian bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang yang mengharamkan menu sirip ikan yu dihidangkan dalam semua jamuan rasmi kerajaan.

Kenyataan media ini telah dimuat naik dalam laman Facebook Buletin Mutiara hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, inisiatif ini sebagai sokongan kepada Tabung Hidupan Liar Sedunia-Malaysia (WWF).

fb
Gambar diperolehi dari Facebook Buletin Mutiara

Usaha pemuliharan biodiversiti itu menerima sokongan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, kerana populasi ikan yu kini berhadapan dengan kepupusan berikutan aktiviti "shark-finning" ataupun perbuatan memburu sirip ikan yu.

“Sudah berjuta-juta tahun, ikan yu menjadi mangsa utama perairan disebabkan permintaan yang tinggi.

“Jadi, berdepan kepupusan berikutan aktiviti penangkapan yang berlebihan,” kata Phee Boon Poh, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

fb
Gambar diperolehi dari Facebook Buletin Mutiara

Masyarakat, kerajaan negeri dan beberapa persatuan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Penang Master Builders and Building Material Dealers Association (PMBBMDA) dan Dewan Majlis Bandar Cina Pulau Pinang turut menandatangani perjanjian untuk mengharamkan hidangan dan penggunaan sirip ikan yu dalam semua acara yang akan dianjurkan.

fb
Gambar diperolehi dari Facebook Buletin Mutiara

"Walaupun ada pegawai kerajaan negeri yang akan menghadiri majlis yang menghidangkan sirip ikan yu, mereka tidak akan menikmatinya.

“Kami mengambil pendirian yang amat tegas dan serius terhadap isu tersebut," tambah Boon Poh.

Melalui usaha itu, kerajaan negeri Pulau Pinang berharap orang ramai sedar akan amalan yang tidak beretika itu dan mula menyelamatkan populasi ikan tersebut.

Difahamkan, WWF Malaysia akan mendekati lebih banyak persatuan, hotel dan agensi-agensi kerajaan untuk mengelakkan hidangan sirip ikan yu.