RANTAU ABANG: Penggunaan pukat pari atau lebih dikenali sebagai 'pukat malas' oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.
Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Sharum Yusof berkata berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 45 peratus kematian penyu yang direkodkan setakat ini adalah akibat tersangkut pada pukat pari, manakala 38 peratus terperangkap dalam pukat tunda.
"Apabila penyu tersangkut pada pukat pari atau pukat malas yang diletakkan di dasar laut selama dua hingga tiga jam, haiwan itu akan kelemasan dan mati kerana gagal timbul di permukaan air untuk bernafas.
"Insiden terperangkap pada pukat kerap berlaku sehingga menyebabkan kematian dan lebih menyedihkan ada nelayan yang sanggup bunuh penyu yang terperangkap sebab tak mahu rosakkan pukat mereka ketika mahu keluarkan haiwan itu," katanya kepada Bernama di sini.
Kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila 22 kes kematian dilaporkan dalam tempoh Januari lepas sehingga semalam. Pada 2019 sebanyak 78 kes kematian penyu direkodkan, manakala 55 kes dicatat pada 2020 dan 51 kes (2021).
Mengulas lanjut Sharum berkata penyu juga lebih mudah terperangkap jika pukat yang digunakan nelayan melebihi saiz yang dibenarkan pihak berkuasa iaitu saiz mata pukat tidak boleh melebihi 25 sentimeter (10 inci).
"Masih ramai nelayan di negeri ini tidak memahami (peraturan) dan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa," kata Sharum.
Sehubungan itu katanya pelbagai program kesedaran dan kursus diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran nelayan tentang kepentingan mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus dapat menyelamatkan reptilia berkenaan.
"Malangnya peratus kehadiran amat sedikit, sedangkan banyak lesen nelayan dikeluarkan, tambah buruk lagi ada ramai yang turun ke laut tanpa lesen dan golongan inilah yang sukar dididik dan diberi kesedaran," katanya yang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan sehingga menjejaskan ekosistem marin.
Sementara itu menurut Pegawai Penyelidikan Penyu FRI Rantau Abang Nazuki Sulong, punca lain yang menyebabkan kematian penyu ialah akibat terkena kipas bot, manakala peratusan penyu yang mati akibat termakan plastik sangat kecil iaitu hanya kira-kira lima peratus.
Beliau berkata kematian penyu yang disebabkan termakan plastik sebenarnya jarang berlaku kerana kebiasaannya ia melibatkan penyu Belimbing yang makanan utamanya ubur-ubur dan spesies berkenaan sudah agak lama tidak kelihatan mendarat di pantai negeri ini.
"Penyu Belimbing mungkin keliru, tak dapat beza plastik terapung dengan ubur-ubur. Penyu lain seperti Agar, Lipas dan Karah yang banyak terdapat di negeri ini biasanya lebih banyak makan rumpai laut, span (karang lembut) atau udang, ia jarang memakan ubur-ubur.
"Ada kes yang kita jumpa, walaupun ada plastik dalam mulut penyu yang mati tu, bukanlah sebab ia makan plastik, tapi mungkin perbuatan khianat (orang masukkan)," katanya menambah spesies penyu Agar kini mendominasi populasi penyu di Terengganu iaitu sehingga 90 peratus.
Oleh itu katanya, keutamaan yang perlu diberi dalam usaha mengurangkan kematian penyu ialah dengan mendidik dan memberi kesedaran yang optimum kepada golongan nelayan supaya mereka mematuhi setiap undang-undang serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya penggunaan Peranti Penyisih Penyu pada pukat tunda sepanjang musim tengkujuh (November hingga Mac) juga dapat menyelamatkan penyu daripada terperangkap di dalam keroncong pukat sehingga menyebabkan kematian.
"Penyu yang memasuki pukat tunda dapat keluar melalui injap yang terdapat pada peranti ini, jadi penyu tidak akan terperangkap dan lemas dalam pukat," katanya.
Terdapat antara 800 sehingga 1,000 ekor penyu akan mendarat dan berada di perairan Terengganu semasa musim reptilia itu bertelur iaitu sekitar April sehingga Oktober.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Feb 17 2022
Rangka penyu agar dipamerkan kepada orang ramai di galeri Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Kuala Abang di Dungun. - Foto BERNAMA
Dulu tempat pelupusan sampah, kini ladang solar - Nga
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berjaya mentransformasikan tapak pelupusan sisa pepejal menjadi ladang solar dan tapak rekreasi keluarga.
KL bersiap untuk ekspo bandar pintar pertama Asia Tenggara - Gobind
Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menganjurkan Ekspo Bandar Pintar (SCE) di Kuala Lumpur mulai 17 hingga 19 Sept tahun ini.
Thailand terima 29 juta pelancong, jangka lebih ramai ketika musim puncak bermula
Thailand telah menerima ketibaan lebih 29.08 juta pelancong asing, menjana pendapatan kira-kira 1.358 trilion baht dari 1 Januari hingga 3 November tahun ini.
Sanggar Puisi 2024 usaha membugarkan budaya membaca
Objektif utama penganjuran Sanggar Puisi Perpaduan 2024 ini adalah untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya.
KPKM bangunkan semula tanah sawah terbiar untuk tanaman padi
KPKM sedang menumpukan usaha membangunkan semula tanah sawah terbiar untuk penanaman padi sekali gus meningkatkan SSR beras negara.
KDN beri penjelasan lanjut di dewan rakyat Khamis ini
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah di Dewan Rakyat Khamis ini.
Mahasiswa diseru tidak terpengaruh dengan ideologi Khawarij
Biar pun Khawarij secara mazhab sudah hampir pupus, namun ideologi dan fahamannya yang ekstrem masih wujud, baik daripada sekecil persaingan demokrasi di pilihan raya, sehingga pertumpahan darah yang berlaku di Timur Tengah.
Kementerian Pertahanan tiada kompromi, siasatan telus
Kementerian Pertahanan bersikap telus dalam siasatan kes buli dan penderaan melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.
China akan naik taraf zon perdagangan bebas
Berucap pada Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7, Premier China, Li Qiang berkata pembukaan ekonomi adalah "kemestian" dalam memerangi peningkatan uni-lateralisme di seluruh dunia.
PM Anwar lancar Pavilion Malaysia, ACCCIM di Shanghai
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Pavilion Malaysia sempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shangai.
Pukat malas 'pembunuh' utama penyu di Terengganu - Kajian FRI Rantau Abang
Penggunaan pukat pari atau lebih dikenali sebagai 'pukat malas' oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia itu.