KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited meneruskan agenda kerajaan dalam memastikan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran, sehingga ke menara gading.

Justeru, usaha dan jasa PTPTN turut diakui penerima Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi dan Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi, Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun perbadananan itu.


Penerima Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi, Achmad Noorasyrul Noortaip.


Bagi penerima Anugerah Tokoh Peminjam Berispirasi, Pengasas dan Pengarah Urusan, Idolegacy Sdn Bhd di Kota Kinabalu, Sabah, Achmad Noorasyrul Noortaip, 36, beliau bersyukur atas anugerah dan bantuan yang diterimanya.

Malah, beliau turut berpendapat, PTPTN merupakan aspek penting dalam pembangunan modal insan negara khususnya bagi membantu golongan B40.

“Jadi kita bersyukur dengan adanya PTPTN ini semakin ramai orang dapat meneruskan pelajaran sehingga ke menara gading dan mampu mengejar cita-cita mereka. Tidak kurang juga kini, ramai yang telah menjadi golongan profesional.

“Saya sendiri seorang peminjam PTPTN sebenarnya. Saya bersyukur, selesai saya belajar di menara gading saya mampu membuka syarikat sendiri. Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih, kepada PTPTN, tahniah atas Sambutan Jubli Perak 25 PTPTN,” beliau berkata demikian kepada Astro AWANI pada Rabu.

Penerima Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi, S. Sukhanti (tengah) bersama kedua ibu bapanya, R.Supamanam (kiri) dan K.Tanalatchumy (kanan).

Sementara itu, penerima Anugerah Keluarga Malaysia (Pendeposit Simpan SSPN), seorang doktor di sebuah klinik kerajaan di Tanjung Malim, Perak, S. Sukanthi, 30, berkata Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) adalah pelan simpanan terbaik disediakan oleh kerajaan yang sekali gus telah banyak membantu dari segi perancangan kewangan bagi tujuan pendidikannya.

“Dengan ini saya mahu mengucapkan terima kasih PTPTN sudah mewujudkan platform untuk kita menyimpan duit dan juga memberi kita idea untuk merancang kewangan untuk pendidikan. Tahniah untuk Sambutan Jubli ke 25 tahun PTPTN,” katanya.

Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen MARTRADE, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut melancarkan Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Haji Alamin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Majlis yang dianjurkan adalah bertujuan untuk menghargai segala daya usaha dan pandangan jauh PTPTN sejak mula beroperasi pada 1 Nov 1997, bersesuaian dengan fungsinya yang termaktub di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 atau Akta 566.


PTPTN | Tunjang kekuatan pelajar ke menara gading

 
*Artikel ini merupakan kandungan berbayar