KOTA MARUDU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony akan membuat petisyen bagi membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pusat menolak pencalonan beliau pada 5 Nov lalu.

Keputusan SPR itu disifatkan beliau sebagai tindakan yang tidak berasas berdasarkan kedudukannya yang masih sah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap.

"Kita akan buat petisyen dan juga bantahan di mahkamah. Saya ingat, keputusan akan memihak kepada kita, kerana perkara tersebut. Tidak ada sebab saya tidak boleh tanding.

"Macam mana pula saya boleh tanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kalau saya ada sabitan?

"Sudah tentu ada Pilihan Raya Kecil di Melalap," jelas beliau.

Tambah Peter, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Parlimen Tenom pada ketika itu tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap pencalonannya.

Sebaliknya, bantahan tersebut dakwanya datang daripada SPR pusat di luar waktu bantahan iaitu antara 9 pagi dan 10 pagi.

"Saya dimaklumkan oleh RO ataupun Pegawai Daerah yang mewakili SPR bahawa Pengarah SPR Negeri tiada masalah.

"Cuma Pengerusi SPR pusat ada bantahan, jadi kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan nanti," tambah Peter.

Pencalonan Peter di Parlimen Tenom pada 5 Nov lalu ditolak, mengakibatkan ketegangan berlaku melibatkan penyokong Parti KDM di pusat penamaan calon, Dewan DSP Antanom.

Beliau kemudian ditahan di Balai Polis Karamunsing selepas kejadian bagi membantu siasatan di bawah
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24A (2) kerana berada pada jarak kurang 50 meter daripada sempadan tempat penamaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun, atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, beliau dilepaskan dengan jaminan polis pada 6 Nov, selepas proses rakaman percakapan.