ISLAMABAD: Kumpulan wartawan Malaysia termasuk Astro AWANI yang berada di Islamabad bagi membuat liputan Lawatan Negara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan, hampir terkandas malam Sabtu.

Ia berikutan penutupan semua jalan keluar dan masuk ke ibu kota Islamabad pada Jumaat dan Sabtu, yang disebabkan protes penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan yang sedang dipenjarakan.

Kerajaan turut menyekat perkhidmatan telefon bimbit dan internet untuk menyukarkan komunikasi dan koordinasi kumpulan penyokong Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang diasaskan oleh Imran itu.

Berikutan sekatan berkenaan, kumpulan pemberita daripada Astro AWANI, TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang dijadualkan pulang malam tadi, terpaksa mencari laluan alternatif untuk ke lapangan terbang.

Dengan dibantu pegawai daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, mereka menggunakan pacuan empat roda dengan pemandu tempatan, serta bertolak dari hotel seawal jam 4 petang walaupun penerbangan dijadualkan sekitar jam 11.20 malam.

Ini kerana tiada mana-mana pihak boleh memberi jaminan sama ada perjalanan itu akan berjaya atau sebaliknya.

Perjalanan itu tidak mudah apabila mereka terpaksa berpatah balik beberapa kali akibat sekatan jalan raya menggunakan kontena, kesesakan amat teruk, selain jalan di kawasan kampung yang terlalu kecil, yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Terdapat juga kawasan di mana penduduk tempatan terpaksa diupah untuk menunjukkan laluan sesuai yang boleh digunakan.

Mereka akhirnya berjaya tiba di lapangan terbang selepas lebih tiga jam, bagi perjalanan yang biasanya hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.

Semua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan antikerajaan berhampiran kawasan D Chowk, yang terletak berhampiran pusat pentadbiran di Islamabad pada Jumaat dan Sabtu.

Ramai peserta protes telah ditahan termasuk adik perempuan Imran.

Kawasan D Chowk, yang terletak berhampiran pusat pentadbiran termasuk Parlimen Pakistan, dianggap kawasan merah dan dikawal rapi kerana dijadualkan menjadi lokasi utama untuk penyokong Imran berkumpul semalam.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi, dilapor berkata, penyokong terlibat mempunyai hak untuk berhimpun tetapi sekarang bukan masa yang sesuai.

Beliau merujuk kepada beberapa acara diplomatik di ibu negara itu termasuk lawatan Anwar yang berakhir pagi Jumaat.

Islamabad akan turut menjadi tuan rumah mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) pada 15 hingga 16 Oktober ini.

Acara itu juga dijadualkan dihadiri oleh Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, yang merupakan menteri luar India pertama melawat Pakistan dalam tempoh hampir sedekad, di tengah-tengah hubungan yang masih tegang antara kedua-dua negara.