KUALA LUMPUR: Michael (bukan nama sebenar) membeli sebuah unit hartanah berstrata pada 2017, namun tidak lama selepas Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani, dia mula perasan akan tanda-tanda "tidak sihat" pada projek itu.
Pembinaan projek perumahan itu sering tergendala termasuk hampir setahun terhenti sebelum disambung semula. Itupun hanya selepas pembeli mengadu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta mendapatkan bantuan daripada Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).
"Namun kini pembinaan terhenti terus dengan projek hanya 55 peratus siap," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, dia kembali ke KPKT untuk membuat aduan, namun dimaklumkan oleh kementerian itu bahawa projek tersebut sudah "hampir-hampir menjadi projek terbengkalai".
"Kami sebagai pembeli, sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan," keluh Michael.
Berdasarkan portal KPKT, sesebuah projek pembangunan dikategorikan sebagai "projek sakit" apabila kemajuan pembinaan mengalami kelewatan lebih 30 peratus berbanding yang dijadualkan atau SPA telah luput tarikh.
TIDAK TAHU HAK
Seorang lagi mangsa projek sakit, Siti Hawa (bukan nama sebenar) dan suaminya membeli sebuah unit berstrata di bawah program perumahan mampu milik pada 2018, dan sepatutnya menerima kunci untuk unit mereka yang bernilai RM300,000 itu pada Mei 2022. Namun katanya hingga kini kediaman yang diimpikan masih belum siap.
Menurut Siti Hawa, sejak awal lagi sudah ada "yang tidak kena" dengan projek berkenaan, namun sebagai pembeli rumah kali pertama, dia dan suaminya tidak tahu akan hak mereka.
"Berdasarkan SPA, projek akan berlangsung selama 48 bulan, bukan 36 bulan. Kami tidak pertikaikan perkara ini kerana kami tidak tahu projek perumahan berstrata harus siap dalam tempoh 36 bulan.
"Ini bermakna pemaju sudah diberikan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) selama setahun dari mula lagi, dan ini sudahpun melanggar undang-undang," katanya.
Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) memperuntukkan penyerahan milikan kosong (penyerahan kunci unit kepada pembeli) adalah dalam tempoh 24 bulan bagi hartanah atas tanah dan 36 bulan untuk projek berstrata.
"Kami cuba menghubungi pegawai kementerian terbabit namun panggilan kami asyik dipindahkan daripada seorang pegawai kepada pegawai lain. Kami sudah tidak tahu apakah yang harus dilakukan," katanya.
Selain itu kata Siti Hawa, dia juga bakal dikenakan caj penuh bayaran balik pinjaman oleh bank yang menganggap projek tersebut sudah siap berdasarkan SPA.
Menurutnya, sebahagian besar pembeli terawal projek berkenaan sudahpun dikenakan bayaran balik pinjaman pada kadar penuh.
Pada masa sama, Siti Hawa bersyukur tidak memanfaatkan moratorium yang ditawarkan sebanyak dua kali semasa penularan COVID-19 memuncak, iaitu pada 2020 dan tahun lepas, kerana ramai yang berbuat demikian telah dikenakan bayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi oleh bank.
Semakan mendapati projek perumahan itu yang menawarkan kira-kira 2,000 unit habis dijual.
MELONJAK HAMPIR 65 PERATUS
Berdasarkan Statistik Projek-projek Perumahan Swasta mengikut Kategori yang dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan Negara, terdapat 539 projek sakit setakat 30 April 2022, berbanding hanya 328 projek pada 30 April, 2019, iaitu peningkatan sebanyak 64.33 peratus.
Jumlah pembeli yang terbabit pula melonjak hampir sekali ganda kepada 46,463 berbanding 23,400 bagi tempoh sama.
Selangor mencatatkan jumlah projek sakit tertinggi iaitu 119 buah, diikuti Johor (75) dan Perak (73).
Seorang perunding hartanah yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau "tidak terperanjat" dengan peningkatan jumlah projek sakit itu kerana sektor hartanah sudahpun memperlahan sejak mencapai kemuncak pada 2012/2013.
Antara sebabnya ialah harga kediaman yang sudah melangkaui mampu milik kebanyakan rakyat Malaysia, kata beliau.
Data Pusat Maklumat Hartanah Negara menunjukkan nilai terkini keseluruhan hartanah yang sudah siap namun tidak terjual ialah RM42.9 bilion, merangkumi RM22.45 bilion nilai kediaman atas tanah dan RM20.45 bilion pangsapuri perkhidmatan yang dibina di atas tanah komersial.
Penularan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan atau pemotongan gaji turut menyumbang kepada sentimen, kata perunding hartanah itu.
KOS LEBIH TINGGI, MASALAH BURUH
Isu projek sakit ini juga berpotensi menjadi projek terbengkalai berikutan beberapa masalah yang kini, menurut beberapa pemaju, dihadapi mereka.
Pada 16 Jun lepas, Pengarah Masteron Sdn Bhd Choy Kin Mann dipetik oleh media sebagai berkata harga bahan binaan telah meningkat sebanyak 50 peratus dan ini "menjejaskan ramai pemaju".
Kenyataan Choy itu diakui oleh seorang lagi pemaju yang mengunjurkan bilangan projek sakit terus meningkat pada masa akan datang, berikutan isu kekurangan tenaga kerja serta kenaikan kos bahan binaan yang berpunca daripada gangguan dalam rantaian bekalan akibat pandemik serta konflik Rusia-Ukraine.
"Harga bahan binaan tertakluk kepada kuasa pasaran, sementara kekurangan tenaga buruh pula perlukan kerajaan mempercepat kemasukan pekerja asing," katanya yang juga tidak mahu namanya didedahkan.
Sebahagian besar pekerja asing yang menjadi nadi dalam sektor pembinaan negara, kembali ke tanah air masing-masing selepas kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan projek pembangunan tidak kritikal diarah henti kerja.
TELITI SETIAP KES
Seorang lagi pemain industri yang juga enggan namanya disiarkan, berkata kerajaan harus campur tangan dan meneliti setiap projek yang dikatakan "sakit" kerana rumusan secara pukul rata mempunyai implikasi perundangan dan kewangan kepada pemaju dan pembeli.
Katanya kerajaan perlu mengambil kira faktor termasuk arahan yang dikuatkuasakan sepanjang pandemik, antaranya Ordinan Darurat dan pelaksanaan PKP yang menjejaskan operasi.
Pada 2020, kerajaan menguatkuasakan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.
Akta COVID-19 melibatkan Akta 118 yang antara lain bertujuan memberi perlindungan sementara kepada pemaju perumahan bagi kerja yang tertangguh akibat PKP sejak 18 Mac 2020, termasuk daripada disaman oleh pembeli atau bank kerana gagal menyiapkan projek pada tarikh dijadualkan siap.
Bagaimanapun pengecualian EOT yang ditetapkan kerajaan menerusi Akta COVID-19 itu hanya terpakai ke atas projek perumahan yang sepatutnya siap antara Mac hingga Disember 2020.
Bagaimanapun, pada Februari 2021, KPKT menerusi Menterinya pada ketika itu Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kementerian bersedia menimbang untuk memberi pengecualian bagi projek yang lewat hingga Mac 2021, dengan syarat pemaju terbabit mempunyai alasan yang kukuh.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat HBA Chang Kim Long yang berkongsi pandangan serupa dengan pemaju, berpendapat KPKT wajar memperinci semula jumlah projek sakit agar dapat mencerminkan keadaan sebenar.
"Barangkali KPKT terlepas pandang tentang cabaran yang dihadapi oleh semua pihak dalam tempoh dua tahun lepas," katanya, menambah hanya dengan cara itu nasib pembeli yang dikatakan terbabit dalam projek sakit boleh dibela.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jun 21 2022
Igauan ngeri pembeli rumah adalah apabila mengetahui 'mahligai' impian mereka tidak terlaksana seperti yang dijanjikan. - Gambar hiasan
Samsung sahkan kerjasama bangunkan cermin mata pintar dengan Google
Cermin mata ini dijangka dilengkapi kamera dan kemampuan pemahaman multimodal AI dari Google Project Astra.
Produk gula-gula Apple S dikesan mengandungi bahan terlarang sibutramine - KKM
Produk gula-gula jenama Apple S dikesan mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
HAWANA jadi platform himpunkan organisasi media seluruh ASEAN - Fahmi
HAWANA akan menjemput pengamal media dari ASEAN untuk beberapa program sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten - KWSP
Caruman secara konsisten ke dalam tabung KWSP boleh menjamin persaraan yang selesa walaupun dengan gaji permulaan yang rendah.
Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud gegar selatan Filipina
Gempa tektonik berkenaan berpotensi mencetuskan gegaran susulan dan menyebabkan kerosakan.
Perancis keluarkan waran tangkap terhadap Bashar
Dua majistret penyiasat Perancis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Pemimpin Syria, Bashar al-Assad, atas dakwaan bersubahat dalam jenayah perang, menjadikannya kali kedua tindakan sedemikian diambil oleh pihak berkuasa kehakiman negara itu.
Kelahiran bayi di Korea Selatan pada November tertinggi dalam 14 tahun
Menurut Statistik Korea, seramai 20,095 bayi dilahirkan pada November 2024, menandakan peningkatan 14.6 peratus berbanding 17,530 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Trump janji tamatkan konflik, tapi Rusia-Ukraine masih berperang
Rusia dan Ukraine terus melancarkan serangan udara ke atas satu sama lain, walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru mengangkat sumpah jawatan, mendakwa kononnya mampu menamatkan perang dalam masa 24 jam.
SHP Batang Kali bukti usaha Kerajaan Selangor kurangkan jejak karbon - Amirudin
Amirudin berkata, pembinaan loji hidrokuasa kecil ini membuktikan kemampuan negeri memimpin usaha menghasilkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan hijau.
Clinker Line 2 Cahya Mata dijangka siap Mac 2027, bantu tingkat pengeluaran simen Sarawak
Setelah siap, Cahya Mata Cement akan mencapai kapasiti pengeluaran simen tahunan sebanyak 2.4 juta metrik tan.
Belanjawan 2025: Isu mampu milik jadi tumpuan sektor hartanah
Isu berkaitan mampu milik kekal menjadi tema utama dalam sektor hartanah menjelang Belanjawan 2025 walaupun beberapa cadangan yang dikemukakan bukan suatu perkara baharu, kata CIMB Securities Sdn Bhd
Kebakaran hutan di Turkiye, penduduk diarah pindah
Kebakaran hutan pada Sabtu membabitkan tiga lokasi di wilayah barat Turkiye, Izmir menyebabkan kawasan kediaman terpaksa dikosongkan.
Perak perlu lebih 57,000 unit rumah menjelang 2030
Perak memerlukan 57,407 unit rumah menjelang 2030, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Perumahan tidak terjejas berhampiran tanah runtuh di Puchong masih selamat dihuni - Polis
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata penduduk tidak perlu bimbang kerana struktur tanah runtuh itu tidak akan sampai ke kawasan lain.
Projek terkesan akibat kelewatan dicadang terima manfaat Dana Jaminan Khas
Dalam tempoh pemaju menyiapkan pemajuan perumahan, kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah perlu dibela.
Kerajaan Selangor senarai hitam pemaju tidak patuhi syarat sedia kuota Bumiputera - Exco
Pemaju akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS dan dikenakan denda yang lebih berat.
Skim Rent to Own diperluas bagi golongan B40, M40
Kerajaan akan memperluas skim Rent to Own bagi membolehkan lebih ramai golongan B40 dan M40 memiliki rumah.
KKDW diberi RM460.2 juta untuk pembangunan PPRT
Jumlah itu merangkumi peruntukan RM244.4 juta bagi pembinaan 3,030 unit rumah baharu sementara baki untuk pembaikpulihan.
KPKT teliti syarat tetapkan pemaju perumahan sedia rumah mampu milik
KPKT sedang meneliti syarat yang menetapkan pemaju perumahan swasta untuk membina rumah mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan.
Tiada lagi projek sakit PR1MA menjelang tahun depan - Kor Ming
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan tiada lagi projek sakit membabitkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menjelang tahun hadapan.