Projek naik taraf 'Wireless Walk' yang bernilai RM3.36 juta, perlu diteruskan kerana ia mampu menjana ekonomi serta menjadi tarikan pelancongan Miri.

Setiausaha Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) Sarkawi Suhaili berkata, cadangan Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng untuk menangguhkan projek tersebut buat sementara waktu kerana faktor pencemaran alam sekitar, sanitasi dan kesesakan jalan raya adalah tidak wajar.

"Kita membantah cadangan tersebut kerana PBMS terlibat dalam mencadangkan lokasi sesuai untuk perniagaan secara kecil-kecilan di tengah bandar raya dengan kos rendah serta mampu menjadi ikon pelancongan," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, berkenaan isu pencemaran alam, pihaknya bersama Majlis Bandaraya Miri (MBM) bersedia memantau kualiti kebersihan peniaga yang beroperasi di kawasan tersebut termasuk dari segi kebersihan persekitaran serta akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak mematuhi aspek kebersihan.

"Sebagai contoh Pasar Malam Saberkas sudah lama beroperasi serta mempunyai ramai peniaga kecil-kecilan tiada isu kebersihan hingga kini dan masih menjadi tarikan pelancongan," katanya lagi.

Mengenai masalah kesesakan jalan raya, Sarkawi berkata, MBM sedang mempertimbangkan cadangan PBMS untuk menutup jalan tersebut semasa tempoh operasi Wireless Walk, iaitu mulai 6 petang hingga 12 tengah malam.

Beliau berkata selain itu, kemudahan tandas juga akan disediakan demi keselesaan pengunjung-pengunjung ke Wireless Walk.

Pada Khamis lepas Dr Teo meminta kerajaan negeri menangguhkan projek sementara waktu tersebut berikutan kebimbangan pihak berkepentingan yang disuarakan kepadanya terhadap tiga isu berkenaan.

Projek naik taraf itu bermula 9 Feb lepas dengan jangkaan siap pada Oktober tahun ini terletak di Jalan North Yu Seng yang juga antara jalan paling sibuk di bandar raya ini kerana banyak premis hiburan, restoran, hotel dan inap desa beroperasi di kawasan sekitar.

Projek Wireless Walk melibatkan sepanjang 500 meter jalan serta akan menempatkan 66 gerai untuk usahawan kecil daripada pelbagai etnik dan 12 tandas untuk kegunaan pengunjung.

-- BERNAMA