TELUPID: Taman Telupid Villa di sini menjadi taman angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertujuan memperkasakan masyarakat di kawasan itu terutama golongan suri rumah, dengan menjadi mata dan telinga polis dalam menangani ancaman jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata golongan suri rumah sering bersendirian ketika suami keluar bekerja dan anak bersekolah menyebabkan mereka berpotensi menjadi sasaran penjenayah.

"Amanita melaksanakan program penyebaran maklumat mengenai pencegahan jenayah dan mengajar penduduk bagaimana untuk mengumpul maklumat mengenai individu mencurigakan, supaya mudah tugas polis untuk menangkap penjenayah.

"Saya percaya Amanita telah mengambil semua maklumat penduduk dan nombor rumah, serta mewujudkan rangkaian perhubungan seperti kumpulan WhatsApp agar sentiasa ada komunikasi antara penduduk dan polis," katanya kepada pemberita selepas melancarkan taman angkat Amanita itu pada Isnin.

Idris juga menasihatkan skuad berkenaan agar terus aktif merancang dan mengadakan program keselamatan berterusan dengan masyarakat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Telupid Jonnybone J Kurum berkata program keselamatan dikendalikan Amanita itu memberi maksud yang baik terhadap perumpamaan 'menjaga tepi kain orang'.

"Sebagai jiran yang prihatin dan bertanggungjawab, sebarang maklumat jenayah khususnya jenayah yang kurang dilaporkan seperti keganasan domestik, tidak akan diabaikan sebaliknya akan dibendung dengan bantuan polis sekali gus menjamin keharmonian dalam kejiranan," katanya.

-- BERNAMA