Pengarah Perpustakaan Cawangan dan Komuniti PNM Ali Rashid berkata program hibrid itu adalah antara usaha PNM sebagai entiti yang diberi kuasa oleh badan antarabangsa untuk memperkasa dan mempromosikan aktiviti bagi golongan OKU penglihatan.
"Kita mempunyai kerjasama erat dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan ini adalah antara inti pati program yang kita laksanakan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan OKU penglihatan.
"Ini adalah usaha kita untuk mendekatkan golongan ini dengan perpustakaan supaya mereka boleh menggunakan bahan dan terlibat dengan aktiviti yang disediakan di sini agar mereka tidak dlihat sebagai antara golongan terpinggir seterusnya boleh meningkatkan kemandirian mereka," katanya kepada Bernama selepas program itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAB Datuk George Thomas di Menara PNM semalam.
Beliau berkata golongan OKU lain juga tidak akan terpinggir dalam program yang bakal dianjurkan oleh PNM kerana terdapat slot bagi melaksanakan aktiviti khusus buat mereka.
Ali berkata antara perancangan pihaknya ialah meningkatkan jumlah penglibatan OKU dalam aktiviti PNM dengan pelaksanaan program menarik seperti mencari harta karun, pertandingan puisi, mendeklamasi sajak dan persembahan teater.
"Bagi aspek penglibatan ini juga, kita akan teruskan pelan strategik kita untuk bekerjasama serta berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan sebagainya kerana kita mempunyai libat urus yang kuat dengan MAB," katanya.
Program itu diadakan secara tahunan untuk memberi pemahaman serta pendedahan secara lebih khusus tentang keperluan karektoristik OKU penglihatan dan ketidakupayaan cetakan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih berkesan dan inklusif.
Antara pengisian menarik sepanjang program itu ialah Pertandingan Membaca Braille Bahasa Melayu yang menyaksikan 18 peserta pelbagai umur mengambil bahagian serta ceramah bertajuk 'Sumbangan Teknologi ke Arah Memperkasa Aksesibiliti Informasi' oleh Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Dr Ahmad Shamsuri Muhammad.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak Amir Harith Mohd Najib, 14, teruja selepas diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Membaca Braille Bahasa Melayu.
"Pada mulanya, saya gementar tapi apabila menang itu memang seronok kerana ini kali pertama saya menang pertandingan Braille ini.
"Saya harap tahun depan kalau ada lagi program ini, saya mahu sertai dengan rakan-rakan lain," katanya.
-- BERNAMA