PROGRAM Sarapan Pagi (PSP) 2020 oleh Kementerian Pendidikan seperti yang dijadualkan telah bermula awal minggu ini pada 20 Januari. Program terbabit hanya khusus untuk murid yang kurang berkemampuan di mana ia akan memberi manfaat kepada 37,000 orang murid dari 100 buah sekolah rendah seluruh negara dengan anggaran kos RM22 juta bagi fasa pertama. Program sarapan percuma itu rata-rata dilihat mendapat respon positif dalam kalangan mereka yang terlibat. 


Program rancangan makanan tambahan sebegini bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia, dan ia juga telah dilaksanakan oleh pelbagai negara di seluruh dunia sama ada dari kalangan negara maju atau membangun dengan pelbagai kaedah pelaksanaan.

Program makanan sekolah disifatkan sebagai makanan yang disediakan kepada murid oleh sekolah, walaupun sebahagiannya mungkin dibiayai oleh kerajaan, ibu bapa atau pihak lain. Program makanan sekolah di luar negara kebiasaannya adalah makan tengah hari, tetapi juga termasuk sarapan atau semasa rehat serta program seperti pemberian susu atau buah-buahan. Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program makanan di sekolah boleh mendapat sehingga 40% kalori harian mereka di sekolah.

Secara umum, program makanan sekolah bermula dengan tujuan utama untuk mencegah masalah kelaparan dan kekurangan tumpuan di kalangan kanak-kanak. Dengan tahap obesiti yang semakin meningkat di seluruh dunia pada tahun-tahun kebelakangan ini, matlamat program makanan sekolah telah berubah di United Kingdom dan Amerika Syarikat, dan mungkin berubah di tempat lain juga bergantung kepada situasi dan keutamaan di setiap negara.



Bagi negara-negara membangun, mengatasi kekurangan makanan masih merupakan matlamat utama dalam program sebegini. Menurut World Bank, tujuan program makanan percuma sekolah di negara-negara membangun adalah sebagai jaringan keselamatan sosial yang disasarkan bagi memberi manfaat pendidikan dan kesihatan kepada kanak-kanak yang paling lemah atau terjejas, secara langsung dapat mengurangkan kadar keciciran dan ketidakhadiran ke sekolah, serta meningkatkan jaminan makanan di peringkat isi rumah.

Oleh kerana kerajaan di negara-negara membangun sering menghadapi kekangan dana untuk menyokong program makanan sekolah, program seperti ini biasanya bermula dengan pembiayaan dari organisasi seperti World Bank atau World Food Programme yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bermula pada tahun 1961.

70 negara berpendapatan rendah dan sederhana mempunyai program makanan sekolah, dengan lebih daripada 368 juta kanak-kanak di semua peringkat umur yang diberi makanan percuma di sekolah-sekolah di seluruh dunia. Matlamat akhir adalah untuk program ini dibiayai dan dilaksanakan oleh kerajaan sendiri. Menurut World Food Programme, sehingga 2018, program sebegini telah membina kapasiti 65 kerajaan, yang membawa kepada peningkatan program pemberian makanan percuma sekolah untuk 39 juta lagi kanak-kanak.


Rajah menunjukkan rumusan program makanan sekolah di seluruh dunia dengan tumpuan kepada beberapa negara. Data diambil dari laman web World Food Programme.

Tumpuan program makanan sekolah di negara maju pula telah berubah. Terdapat dua fasa yang berbeza dalam perubahan makanan sekolah di negara maju, dengan tanda-tanda kemunculan fasa ketiga.


Fasa I, antara tahun 1850 dan 1950, tertumpu kepada program kebajikan makanan yang bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat bagi menyediakan zat makanan yang mencukupi untuk menurunkan jurang sosioekonomi. Selepas Perang Dunia Kedua, berlaku pengeluaran makanan secara industri dan lebih intensif yang mengakibatkan lebihan pengeluaran makanan. Perubahan ini menjadikan tumpuan program makanan sekolah dalam fasa kedua beralih dari jaminan makanan kepada kualiti makanan. Di negara-negara maju, fasa ini muncul sekitar tahun 1970 sebagai tindak balas kepada kesedaran penyakit gaya hidup seperti obesiti yang disebabkan oleh industri pengeluaran makanan.

Negara-negara seperti Finland, Perancis, UK dan US telah menerbitkan garis panduan pemakanan untuk program makanan sekolah sepanjang tahun semenjak era 70-an dengan penambahbaikan dibuat secara berterusan. Fasa kedua ini berlanjutan sehingga kini, namun tidak mencukupi untuk mengatasi cabaran masyarakat dan individu mengenai penurunan kadar obesiti dan pada masa yang sama, kekurangan zat makanan dalam konteks makanan yang mampan. Oleh itu, tumpuan dalam Fasa III pula adalah untuk mengintegrasikan kesihatan dan kelestarian ke dalam program makanan sekolah.

Impak Program Makanan Sekolah
Tidak dapat dinafikan bahawa pengalaman berpuluh tahun yang lalu telah melihat konsensus global yang semakin meningkat bahawa program makanan sekolah menghasilkan kesan yang berkekalan yang dapat membentuk masa depan sesebuah negara. Program makanan sekolah diperkenalkan secara dasarnya sebagai kaedah untuk meningkatkan kebajikan rakyat. Walaupun makanan secara amnya boleh didapati dengan banyak di negara-negara maju, makanan sekolah percuma masih dianggap sebagai jaring keselamatan bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, yang berisiko untuk pengambilan nutrisi yang tidak seimbang dan tidak berkualiti.

Dapatan dari Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan yang bertempat di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) pada April 2018 menunjukkan terdapat kira-kira 9.85% kanak-kanak Malaysia berusia 1 hingga 4 tahun yang bantut dengan 13.89% kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun yang mengalami kegagalan pertumbuhan linear. Masalah kekurangan nutrisi sebegini di kalangan kanak-kanak perlu ditangani kerana ia boleh mengakibatkan kemerosotan jangka panjang yang merencatkan pembentukan modal insan, seperti status ekonomi dan pencapaian pendidikan yang rendah. Tambahan juga, kekurangan nutrisi pada usia muda boleh menyebabkan masalah kesihatan apabila mereka dewasa sekaligus meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk orang ramai.

Oleh itu, makanan sekolah percuma yang diperkenalkan sebagai campurtangan dasar untuk memastikan bahawa kanak-kanak dari latar belakang yang kurang bernasib baik mempunyai akses untuk makan pada hari persekolahan adalah sesuatu yang wajar disokong. Kajian 2019 oleh Frøydis N. Vik dari Norway menunjukkan program makanan sekolah percuma untuk satu tahun telah meningkatkan pengambilan makanan sihat, terutamanya di kalangan kanak-kanak dari status sosioekonomi yang lebih rendah.

Penyediaan diet berkhasiat bagi kanak-kanak tersebut dapat membantu mereka meningkatkan tumpuan dalam sesi pembelajaran, dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik. Sememangnya terbukti dalam banyak kajian lain bahawa makanan sekolah yang berkualiti mempunyai kesan positif terhadap prestasi akademik pelajar kerana pemakanan adalah penting untuk fungsi kognitif. Program makanan sekolah mempunyai potensi besar untuk mempromosi kesihatan di kalangan kanak-kanak dan meningkatkan tahap kesihatan masyarakat masa depan.

Selain daripada itu, pengambilan nutrisi yang sihat dan mencukupi di usia muda mempunyai pelbagai kesan positif yang lain. Sebagai contoh, dalam laporan World Food Programme 2019 yang mengumpulkan kajian-kajian pelaksanaan program makanan percuma dari negara-negara membangun seperti Kenya, Senegal, Bangladesh, Madagascar dan Bukina Faso, membuktikan bahawa program tersebut dapat mengurangkan kadar kedatangan lewat atau ketidakhadiran pelajar.

Dapatan yang sama juga diperolehi dalam kajian pada tahun 1998 yang dilakukan oleh pengkaji dari Massachusetts General Hospital dan Harvard Medical School yang diketuai oleh Dr Michael Murphy pada sampel kanak-kanak di Baltimore, Maryland. Etika pemakanan ala Perancis telah dilaksanakan oleh pengkaji Montclair State University Debra Zellner di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 2016 dimana program makanan percuma dijadikan sebagai satu slot pembelajaran bagi kanak-kanak di sekolah.

Dalam program tersebut, kanak-kanak makan bersama-sama dalam kumpulan selama setengah jam dan masa makan tersebut dijadikan sebagai slot pembelajaran yang memfokuskan tentangtingkah laku pemakanan yang sihat.. Program ini juga menunjukkan peningkatan dalam pengambilan sayur-sayuran. Program seumpama ini di Korea Selatan pula berjaya mengurangkan sikap keganasan di kalangan pelajar, kerana program ini mengurangkan kemungkinan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menjadi sasaran pembuli di sekolah.

Cabaran Program Makanan Sekolah
Tidak dinafikan, program yang pada dasarnya bertujuan untuk membantu kanak-kanak mendapatkan nutrisi yang mencukupi agar dapat meningkatkan pencapaian dalam pembelajaran mereka, pasti ada cabarannya tersendiri.

Pelaksanaan program makanan percuma untuk kanak-kanak dari golongan berpendapatan rendah perlu dijalankan dengan teliti dan teratur agar ia sampai pada golongan sasaran dengan tepat dan hikmah. Ini kerana ia mungkin terdedah pada faktor penyalahgunaan oleh pihak yang tidak amanah. Pemantauan secara berterusan yang dimaklumkan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan perlu sistematik supaya makanan yang dibekalkan adalah berkualiti kepada murid-murid. Pelaksanaan konsep Grab ‘n’ Go yang dinyatakan juga perlu lebih jelas kepada ibu bapa terutamanya serta dikaji keberkesanannya agar bersesuaian dengan matlamat yang ingin dicapai.

Isu pemilihan kanak-kanak yang layak menerima makanan percuma juga menjadi satu cabaran bagi pentadbir sekolah. Melalui kajian di negara-negara luar, didapati banyak sekolah yang menghadapi 'dilema moral' apabila penentuan murid yang boleh mendapat manfaat daripada makanan sekolah percuma adalah semata-mata berdasarkan pendapatan keluarga. Guru-guru di United Kingdom dan Amerika Syarikat seringkali melaporkan bahawa terdapat murid-murid lain juga yang mereka percaya layak mendapat sokongan sedemikian berdasarkan ciri-ciri sosio-ekonomi selain hanya berdasarkan pendapatan keluarga sahaja.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa program makanan percuma, contohnya di United Kingdom, peratusan kanak-kanak yang mengambil bahagian adalah rendah dengan 29% daripada 1.4 juta kanak-kanak yang layak tidak mengambil bahagian dalam program sebegini. Ini kerana program itu disasarkan kepada kanak-kanak berpendapatan rendah dan oleh itu program amal ini dianggap stigma dan memalukan.

Perkara yang sama juga dilaporkan berlaku di Kanada. Makanan sekolah percuma atau pengurangan harga dapat meringankan beban kewangan untuk keluarga berpendapatan rendah, tetapi stigmatisasi adalah isu umum yang perlu ditangani ketika membahagikan program makanan sekolah berdasarkan latar belakang kewangan kanak-kanak. Kad pembayaran elektronik individu yang berdasarkan pendapatan keluarga tetapi maklumat disembunyikan daripada pengetahuan pelajar lain, merupakan satu penyelesaian yang berjaya dilaksanakan di luar negara bagi mengatasi stigma dalam program makanan sekolah percuma. Ia mungkin agak sukar dilaksanakan dalam konteks negara kita sekarang kerana kanak-kanak membawa wang tunai ke sekolah, tetapi ia sesuatu yang boleh difikirkan untuk dilaksanakan pada fasa seterusnya terutamanya dengan kemudahan teknologi pembayaran elektronik yang makin popular dan murah. Ia juga dapat mengelakkan kanak-kanak dari keciciran wang tunai yang mereka bawa.

Menurut analisis yang dilakukan oleh World Bank 2016, program makanan sekolah yang paling mampan dan kukuh adalah program yang bertindak balas terhadap keperluan komuniti, dimiliki secara tempatan dan menggabungkan penglibatan ibu bapa atau komuniti. Di Namibia, masyarakat diminta untuk menyediakan bahan bakar, peralatan memasak dan bilik stor. Di Mali, program makanan sekolah dirancang agar membantu mempromosikan program makanan milik komuniti tempatan. Di Ghana, kerajaan menggunakan perancang makanan sekolah yang dilakukan secara digital dalam membangunkan pemakanan yang seimbang dengan menggunakan bahan-bahan tempatan.

Kesimpulan
Program pendidikan adalah penting untuk pertumbuhan dan pembangunan negara yang mampan. Program makanan sekolah boleh memainkan peranan penting dalam pembinaan modal insan yang berdaya maju untuk sesebuah negara. Tetapi, satu soalan dasar yang penting adalah sama ada makanan percuma perlu disediakan untuk setiap pelajar di sekolah.

Ramai ibu bapa pasti teruja melihat kelebihan yang boleh diperolehi melalui program makanan sekolah sebegini terutamanya kepada pencapaian akademik dan bukan akademik anak mereka di samping membantu meringankan beban kewangan mereka. Dari perspektif penggubal dasar pula, hasil dari pelbagai kajian pada program sebegini, pasti membayangkan bahawa diet yang sihat dan penggunaan yang mampan melalui program makanan sekolah adalah satu peluang yang wajar dan perlu dilaksanakan, tetapi memerlukan dedikasi jangka panjang dan pendekatan yang holistik. Ini kerana kelompok sasaran adalah muda dan impak polisi (pada ekonomi, kesihatan, alam sekitar, dan masyarakat yang berkaitan dengan konteks ini) mungkin tidak dapat dilihat dengan segera dan dijangka mengambil masa bertahun lama. Ini adalah sukar untuk dicapai dalam kitaran polisi yang biasanya bersifat jangka pendek. Walau bagaimanapun, jika penilaian dan kajian dijalankan pada peringkat awal dapat menunjukkan hasil yang menggalakkan, kemungkinan besar aktiviti tersebut dapat diteruskan oleh kerajaan.

Kita juga perlu ingat bahawa kebanyakan dasar dan polisi yang digubal di negara maju menggunakan data dan dapatan dari kajian jangka panjang yang menyeluruh dan bermula dari sebelum lahir lagi (fasa kehamilan) contohnya seperti 1970 British Cohort Study dan The Longitudinal Study of Australian Children. Kini merupakan masa yang tepat untuk negara kita juga menjalankan kajian sedemikian bermula dari awal usia agar polisi dan dasar kerajaan yang digubal bagi program sebegini adalah tepat berdasarkan hasil dapatan kajian yang kukuh.






* Prof Madya Dr Bahbibi Rahmatullah merupakan Pengarah di Pusat Penyelidikan Perkembangan Negara (NCDRC), UPSI. Beliau pernah terlibat dalam kajian jangka panjang INTERGROWTH-21ST di University of Oxford, UK yang dibiayai Melinda Gates Foundation.

**Dr Nurfarhana Diana Mohd Nor merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, UPSI. Beliau mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Dietetik dan Pemakanan yang memfokuskan Pemakanan Kanak-kanak.

***Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.