MELAKA: Program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) yang dilaksanakan kerajaan negeri pada setiap bulan akan menampilkan pelbagai kelainan dalam usaha menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha itu termasuk memperkenalkan pakej pelancongan baharu dan program menarik yang memberi impak kepada semua pemain industri pelancongan di negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Pastinya ada kelainan pada bulan kedua pelaksanaan Program MBLM... sehingga Disember tahun ini, kita ada pelbagai pakej pelancongan baharu dan program menarik yang akan diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Melaka.

"Jadi pihak pengusaha hotel, inap desa, hotel bajet dan juga pemain industri pelancongan lain akan mendapat faedah daripada semua program yang akan kita anjurkan," katanya kepada pemberita pada sidang media Walkabout Bila Larut Malam di sebuah pusat beli-belah di sini lewat malam tadi.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem dan Datuk Bandar Melaka Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata lebih banyak pemain industri melibatkan destinasi pelancongan dan pusat beli-belah dijangka menyertai Program MBLM yang bermula 11 malam sehingga 2 pagi pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Beliau berkata inisiatif itu secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana beroperasi lebih masa daripada hari biasa sekali gus meningkatkan pendapatan mereka serta daya saing sektor pelancongan di negeri itu.

Sementara itu, katanya lebih 10,000 pengunjung direkodkan di beberapa destinasi pelancongan yang menawarkan harga tiket promosi sempena Program MBLM malam tadi iaitu Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Panggung Bangsawan, Muzium Penjara dan empat muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka iaitu Muzium Sejarah, Muzium Samudera, Muzium Rakyat dan Muzium Istana Kesultanan Melaka.

"Harga promosi yang ditawarkan ialah RM10 seorang bagi produk pelancongan selain Muzium Penjara iaitu RM3 bagi tiket masuk pelawat dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya dimaklumkan pengunjung hadir ke destinasi pelancongan terlibat untuk mendapatkan tiket promosi berkenaan seawal 6 petang," katanya.

-- BERNAMA