Kebanyakan golongan wanita dan belia khususnya yang baru berkahwin masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Biasanya golongan ini memilih untuk menyewa atau tinggal sekali dengan keluarga sehinggalah mereka berkahwin dan berpindah ke rumah suami.

Sejajar dengan usaha menyelesaikan masalah ini, Far Capital Sdn Bhd dengan kerjasama portal www.gilahartanah.com dan www.hartabumi.com menganjurkan program khas 'Kunci Rumah Pertamaku' bagi memperkasakan golongan wanita dan belia dalam memiliki rumah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faizul Ridzuan kurangnya kesedaran tentang bagaimana mahu memiliki kediaman sendiri antara punca mengapa kurangnya kadar pemilikan hartanah terutama di kalangan wanita dan belia.

“Biasanya mereka dah mempunyai pemikiran bahawa rumah sekarang mahal, maka tak ada kesedaran untuk meninjau harga-harga rumah di kawasan-kawasan popular seperti Damansara dan sebagainya,

“Jadi sesiapa yang masuk program ini akan diajar selok belok memiliki rumah, dan apabila mereka bersedia untuk beli kita akan mencadangkan beberapa hartanah untuk dimiliki,” jelasnya.

Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) ini terbuka kepada minimum 50 peserta secara percuma dan boleh dipohon melalui atas talian iaitu di laman web www.gilahartanah.com dan www.hartabumi.com.

Ia dirasmikan pada Khamis oleh Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.