Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah diletakkan sebagai antara universiti kejuruteraan terbaik dunia dalam versi Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) oleh Subject 2020, yang dikeluarkan baru-baru ini.

UTP dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan, dua daripada program kejuruteraan universiti tersebut menduduki dalam 50 terbaik dengan program kejuruteraan petroleumnya berada di ranking terbaiknya iaitu pada kedudukan ke-21 terbaik dunia.

Ranking itu juga meletakkan UTP sebagai universiti ke-42 terbaik dunia dan universiti terbaik dalam negara, untuk program kejuruteraan mineral dan perlombongannya.

Enam program lain juga telah termasuk di dalam ranking tersebut - Kejuruteraan Kimia (terbaik 150), Kejuruteraan Awam (terbaik 200), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (terbaik 250), Kejuruteraan Mekanikal (terbaik 300), Sains Komputer dan Informasi Sistem (terbaik 400) dan Kimia (terbaik 550).

Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, ranking terkini itu telah menonjolkan kekuatan UTP dalam pelbagai bidang mata pelajaran dan ini satu indikasi mengenai standard dan kualiti kursus yang ditawarkan universiti itu.

"Tambahan pula, prestasi kami menunjukkan bagaimana kami dinilai oleh komuniti akademik antarabangsa dan bagaimana graduan kami diterima dengan baik oleh majikan di seluruh dunia," katanya.

Sebagai anak syarikat milik penuh syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, Petronas, UTP telah melahirkan lebih daripada 19,000 graduan dan pada masa ini mempunyai lebih daripada 1,200 pelajar yayasan, 6,000 sarjana dan 1,200 siswazah, dari lebih 60 buah negara seluruh dunia.

-- BERNAMA