JAKARTA: Dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala serta mewujudkan kefahaman tentang hubungan sejarah dan budaya di antara Malaysia-Indonesia, Kementerian Perpaduan Negara, melalui Jabatan Muzium Negara, telah menganjurkan Program Citra Nusa @Indonesia: Kita Serumpun.

Program yang dirasmikan oleh, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang membawa fokus utama dalam mempromosikan konsep Malaysia MADANI serta selaras dengan Piagam ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti serta Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin.’

“Hubungan Malaysia dan Indonesia sangat istimewa kerana kita mempunyai banyak persamaan, dari segi sejarah, budaya, kuliner, hingga bahasa.

“Juga dalam bidang permuziuman terutama melibatkan perkongsian kepakaran, program latihan, pertukaran pameran serta program silang budaya antara kedua-dua negara telah berterusan sekian lama”, ujarnya kepada pemberita di Muzium Kebangkitan Nasional, Jakarta.

Menurutnya, Program Citra Nusa ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan pemahaman tentang kekayaan sejarah dan budaya Malaysia melalui pelbagai aktiviti seperti pameran, festival budaya, dan program pendidikan.

Hal ini sekali gus dapat mengharmonikan isu-isu tertentu antara kedua-dua negara meliputi bidang sejarah dan budaya.

Pameran ‘Kita Serumpun’ menjadi tarikan utama program ini di mana pameran yang berlangsung sehingga akhir Ogos ini menampilkan pelbagai artifak, foto, dan video yang menceritakan sejarah dan perkembangan budaya Malaysia.

Selain itu, ‘Festival Kita Serumpun’ turut menyajikan pelbagai persembahan seni, demonstrasi permainan tradisional, dan kuliner istimewa melibatkan penyertaan enam negeri dari Malaysia iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.

xxx

“Sebanyak 11 Program Citra Nusa yang telah dirancang untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan khazanah warisan negara dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Aaron turut menekankan peranan penting muzium sebagai ‘penjaga warisan’ yang berperanan mengumpul, menjaga, dan memelihara pelbagai koleksi sejarah, budaya, dan seni.

Keseluruhan koleksi Jabatan Muzium Malaysia berjumlah 437,142 koleksi di mana 74 peratus terdiri daripada koleksi arkeologi diikuti 18 peratus spesimen alam semula jadi dan lapan peratus koleksi etnologi.

Melalui program seperti Citra Nusa, beliau berharap muzium dapat menjadi jambatan budaya yang menghubungkan masyarakat dari pelbagai latar belakang khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan ‘rejuvanate’ muzium atau meremajakan muzium melalui seni dan teknologi.

Program Citra Nusa @Indonesia: Kita Serumpun merupakan bukti nyata komitmen kedua negara dalam mengukuhkan kerjasama dalam bidang kebudayaan.