PUTRAJAYA: Produktiviti penjawat awam menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa pada 1 Dis ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata peningkatan gaji menerusi inisiatif berkenaan perlu disertakan dengan peningkatan mutu kerja, komitmen dan dedikasi penjawat awam.

"Bila kita cerita mengenai produktiviti, penjawat awam kena bagi lebih. Anda perlu berkhidmat dengan lebih baik, perlu berikan lebih banyak kepada kerajaan," katanya kepada Bernama menerusi wawancara khas bersempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16 yang jatuh pada 19 Nov ini.

Beliau berkata SSPA bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam tetapi juga bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Shamsul Azri berkata langkah seperti kenaikan gaji, anjakan tugas atau job rotation, serta rasionalisasi perjawatan dan pengurangan pertindihan fungsi dalam pelbagai jabatan akan memperkukuh struktur dan tatakelola perkhidmatan awam.

"Ini memastikan setiap anggota mempunyai peluang mengembangkan kemahiran serta beradaptasi dalam pelbagai bidang," katanya.

Ditanya mengenai kelemahan segelintir penjawat awam terutamanya dari segi produktiviti, Shamsul Azri menekankan pentingnya penjawat awam menganggap diri mereka sebagai pelanggan untuk memahami keperluan rakyat.

"Bila kita tak meletakkan diri kita sebagai pelanggan, kita kecenderungan untuk tidak bersungguh-sunggu berkhidmat kepada rakyat, kita tak komited. Kita perlu berikan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Shamsul Azri sebelum ini dilaporkan berkata akan menumpukan lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) yang diperkukuh dengan 20 strategi dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam digagaskan beliau.

Lima BKR itu ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan, dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

"Saya juga akan menggunakan pendekatan Associated and Integrated Strategy atau Strategi Bersekutu dan Bersepadu dalam usaha merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam. Associated (Bersekutu) ini menekankan konsep whole-of-nation (keseluruhan negara) melibatkan sektor swasta dan Integrated (Bersepadu) pula ialah konsep whole-of-government (keseluruhan kerajaan) membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan," katanya.

Shamsul Azri juga berkata satu Inisiatif ILTIZAM Perkhidmatan Awam akan diperkenalkan pada suku pertama tahun hadapan.

Inisiatif tersebut merupakan satu kenyataan tegas dan komitmen kerajaan untuk lebih fleksibel dan dinamik serta menuntut agensi sektor awam untuk menyemak dan meneliti semula peraturan bagi tempoh waktu tertentu supaya ia seiring dengan perubahan persekitaran.

Mengenai memperkasakan sinergi awam dan swasta, beliau menekankan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan negara, selaras dengan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS2030) yang dilancarkan pada September lepas.

"Kerajaan memainkan peranan menyediakan dasar dan undang-undang yang fleksibel, meminimumkan kerenah birokrasi, serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan sosial rakyat. Sektor swasta pula memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, inovasi dan teknologi," katanya.

Melalui sinergi ini, kerajaan menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion, menyumbang RM82 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

"Saya yakin usaha berterusan penjawat awam bersama sokongan sektor swasta akan memacu reformasi perkhidmatan awam yang mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," katanya.

-- BERNAMA