SIBU: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen hari ini membayangkan parti itu akan mempertaruhkan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 akan datang.

Beliau berkata beberapa penyandang tidak akan mempertahankan kerusi mereka namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Ya dan tidak. Ada yang akan mempertahankan (kerusi) dan ada yang tidak. Anda akan tahu nanti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa parti di Ibu Pejabat DAP Sibu di sini hari ini.

Chong berkata parti itu akan bertanding di 26 kerusi dengan separuh daripada calonnya adalah muka baharu.

DAP hanya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 pada 7 Mei 2016.