KUALA LUMPUR: Semakin hampir tarikh penamaan calon, Pas dan Bersatu perlu melihat kekuatan mereka sebelum menuntut lebih banyak kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub, Bersatu dan Pas perlu sedar bahawa Melaka merupakan kubu kuat UMNO maka dua parti itu tidak perlu tamak dalam pembahagian kerusi.

Beliau juga menjelaskan, apa yang berlaku hingga belum menemui penyelesaian ialah sikap tidak berpijak di bumi yang nyata dan tamak.

"Saya lihat ada perundingan perbincangan antara tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan Pas, namun masih menemui jalan buntu.

"Untuk tiga parti ini, formula-formula ajaib perlu disegerakan, kerana masa ini semakin hari semakin suntuk. Mereka tidak boleh lagi duduk bercakaran... kalau tidak, mereka akan menemui jalan sukar di PRN Melaka.

"Dan sudah pasti Pas dan Bersatu perlu menilai semula dan berapa kerusi yang mahu ditandingi di PRN Melaka. Kalau kita lihat di Melaka itu kubu UMNO, kalau di Kelantan itu kubu Pas, maka kena realistik tentang persekitaran politik khususnya di Melaka. Masalah akan selesai.

"Tetapi masalah dengan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) ini mereka tamak bilangan kerusi sehingga tidak ada penyelesaian yang ditemui sebelum penamaan calon, inilah masalah dengan parti politik kerana mereka tidak berpijak di bumi yang nyata khususnya di Melaka," katanya kepada Astro AWANI.

Mohammad Tawfik juga menasihatkan Pas agar tidak terus dengan sikap 'primadona'nya bagi memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka.

Jelas beliau, ego politik dalam UMNO, Pas dan Bersatu perlu dipecahkan segera sekiranya tiga parti ini berhasrat memenangi PRN Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi.