KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar dan tiada sebarang kesesakan lalu lintas dilaporkan, menjelang hari mengundi pada Sabtu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur), menunjukkan keadaan lalu lintas yang terkawal dan tiada sebarang tanda peningkatan jumlah kenderaan.

"Aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menuju Kuantan lancar setakat ini. Sama seperti hari-hari biasa. Begitu juga aliran trafik di Tol Bentong, juga tiada sebarang peningkatan jumlah kenderaan," katanya kepada Bernama malam Khamis.

Beliau berkata Plaza Tol Jalan Duta menuju arah utara dan Plaza Tol Sungai Besi arah selatan turut merekodkan aliran trafik yang terkawal dan lancar, selain jumlah kenderaan yang dilaporkan tidak tinggi.

Menerusi akaun rasmi Twitter PLUS Trafik, memaklumkan aliran trafik bergerak lancar dan perlahan hanya disebabkan oleh kenderaan rosak.

Sementara itu, tinjauan Bernama sehingga jam 10 malam ini mendapati, situasi semasa aliran trafik di Plaza Tol Gombak menuju Pantai Timur dan Plaza Tol Jalan Duta, lancar dan terkawal.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala pengundian awal pada 8 Ogos lepas.

-- BERNAMA