KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 14 peratus, dengan jumlah kenderaan mencecah 2.12 juta sehari berbanding 1.85 juta pada hari biasa, sepanjang cuti perayaan Krismas dan hujung tahun dari 20 Dis ini hingga 2 Jan depan.

PLUS dalam satu kenyataan hari ini menyarankan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan lebih awal dengan memanfaatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses melalui aplikasi MyPLUS.

"Jadual perjalanan digital ini bertujuan memudahkan orang ramai merancang perjalanan, selain membantu mengagihkan trafik bagi perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

"Langkah ini dapat mengelakkan kenderaan terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak dan kemungkinan terperangkap dalam kesesakan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Pembantu Maya–PUTRI, aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) dan saluran stesen radio utama negara atau boleh menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000 untuk sebarang pertanyaan atau mendapatkan bantuan kecemasan.

"Kami juga menasihati (pengguna lebuh raya) supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk merancang dan mendapatkan status trafik semasa pada musim perayaan ini," menurut PLUS yang turut mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu kepada semua pengguna lebuh raya berkenaan.

-- BERNAMA