PAS memilih untuk menurunkan muka baru, Azlan Jusoh sebagai calon dalam Pilihan raya Kecil Kuala Besut yang dijadualkan diadakan pada 24 Julai nanti. Azlan, 48, atau lebih dikenali sebagai Che Long merupakan seorang ahli perniagaan yang juga anak tempatan Kuala Besut.

Nama Che Long diumumkan sebagai calon oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi dalam satu majlis di Kampung Nail, Kuala Besut. Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat malam semalam memutuskan untuk memilih Che Long sebagai calon.

Selain Che Long, dua lagi calon yang disenarai pendek ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

PRK Kuala Besut diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Dr A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi.

Barisan Nasional (BN) pula memilih jurutera muda Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37 sebagai calon mereka. Nama Tengku Zaihan diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.