KUALA LUMPUR:Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya boleh ditangguh sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, melainkan itu berlaku, PRK perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, mengikut Perlembagaan apabila ada wujud kekosongan di kawasan terlibat dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu untuk diisi, maka pihak berkenaan perlu melaksanakan tanggungjawab itu seperti yang tertera dalam Perlembagaan.

"Jadi dalam tempoh 60 hari SPR kena ambil tindakan untuk isi kekosongan itu melainkan kerajaan isytihar kawasan Batu Sapi ini sebagai zon merah, keadaan wabak begitu dahsyat dan tidak dapat dikawal serta darurat, barulah PRK ini boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan.

"Jika semua kriteria itu ada, SPR akan akur," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai bantahan beberapa pihak mengenai keperluan untuk mengadakan PRK Batu Sapi berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerima surat pemberitahuan kepada SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong akibat jangkitan paru-paru, pada 2 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani menjelaskan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR Malaysia ada kekosongan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan agar PRK Batu Sapi ini dijalankan secara dalam talian, beliau berkata kaedah itu akan mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan proses perundangan sedia ada.

"Ia tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya dan perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan.

"Apabila sesuatu sistem hendak dibuat, ia perlu digazetkan, kena dapat kelulusan akta dan melalui proses undang-undang terlebih dahulu.

"Namun kaedah yang terbaik adalah membuat PRK secara fizikal," katanya.