SUNGAI PETANI: Sebuah premis kitar semula buangan terjadual dan skrap logam di daerah ini digempur selepas didapati tidak mematuhi keperluan perundangan dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, operasi di premis berkenaan dilakukan susulan aduan yang sering diterima daripada penduduk berdekatan.

Katanya, JAS Kedah telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk memastikan semua arahan dipatuhi.

"Berdasarkan pemeriksaan ada banyak kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis.

"Antaranya terdapat operasi yang dijalankan tanpa kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk proses buangan terjadual, menjalankan operasi tanpa lesen dari Jabatan Alam Sekitar, penstoran yang tidak mengikut garispanduan dan peraturan dan tiada langkah-langkah kawalan pencemaran," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, susulan itu JAS telah mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 & Seksyen 37, AKAS 1974 bagi tindakan-tindakan pembetulan yang perlu dilaksanakan oleh premis.

"Penahanan Kelengkapan Operasi (POK) untuk menghentikan operasi yang dijalankan secara haram dan tidak mempunyai alat kawalan turut dikenakan terhadap beberapa mesin-mesin premis yang menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar.

"Antara tindakan lain yang diambil termasuklah pengeluaran kompaun dan lain-lain tindakan selaras dengan kehendak perundangan," katanya.

Ujarnya, pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan premis sentiasa mematuhi keperluan perundangan dan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.

"Selain itu,orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal JAS," katanya. - Sinar Harian