KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang melibatkan sebahagian daripada sistem dalamannya.

Dalam kenyataan pada Isnin, operator perkhidmatan tren itu berkata satu pasukan keselamatan siber telah mengenal pasti dan sedang menangani insiden tersebut, yang melibatkan akses tanpa kebenaran.

Menurut Prasarana lagi, pihaknya sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi, selain bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Cybersecurity Malaysia untuk memastikan semua langkah telah diambil.

Tambahya, keutamaan ketika ini adalah pada keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam, dengan memastikan penyelesaian masalah dengan segera di samping memastikan perkhidmatan kami terus memenuhi keperluan orang awam.

Operator berkenaan turut mengesahkan bahawa insiden ini tidak memberi gangguan terhadap operasi harian.

Kenyataan ini adalah sebagai reaksi kepada perkongsian dalam platform X yang mendakwa 3.16 gigabit data milik Prasarana telah diceroboh dan akan dijual oleh sekumpulan perisian tebusan atau ransomware group.