PUTRAJAYA: Pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) pertama untuk Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) akan dibuka di Cititel Mid Valley City, Kuala Lumpur bermula 26 Julai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata PPVIN Mid Valley City, dengan kapasiti 1,500 penerima sehari di bawah RiVAC, disasarkan dapat memberikan vaksinasi kepada 31,000 pekerja barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata RiVAC menyasarkan barisan hadapan ekonomi seperti juruwang, jurujual, kru restoran, pekerja stesen minyak, kru pasar raya, kru departmental stores (gedung serbaneka), tukang gunting dan kecantikan, pengurusan kompleks beli-belah dan pekerja rantaian pengedaran.

"RiVAC adalah untuk memastikan sektor peruncitan dapat memberikan perkhidmatan membeli-belah dan pengalaman pengguna yang selamat dan meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata syarikat dan majikan yang menyertai RiVAC akan tertakluk kepada terma dan syarat pelaksanaan program vaksinasi melalui PPVIN seperti yang ditetapkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Pihak majikan tidak dibenarkan sama sekali mengenakan apa-apa bayaran atau potongan gaji kepada pekerja mereka di bawah RiVAC," katanya.

Menurut Nanta, KPDNHEP sejak 26 Mei lepas menerima sebanyak 186,245 pendaftaran bagi RiVAC daripada 1,396 syarikat di seluruh negara.

"KPDNHEP menyasarkan 500,000 pekerja barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan di seluruh negara untuk menyertai RiVAC seberapa segera yang mungkin," katanya.

RiVAC, yang merupakan Inisiatif Kerjasama Awam Swasta antara KPDNHEP dengan pemain industri peruncitan termasuk Persatuan Pengurus Kompleks Malaysia (PPK) yang disokong sepenuhnya oleh CITF, akan diperluas ke beberapa lokasi lain yang akan diumumkan dari semasa ke semasa, katanya.

Beliau berkata kerjasama KPDNHEP dan CITF itu juga akan diperluaskan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk menyegerakan program vaksinasi kepada barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan.

"KPDNHEP komited dalam memastikan sektor peruncitan dipulihkan dan dibuka sepenuhnya secepat mungkin dan ini akan hanya dapat dicapai jika pemberian vaksin kepada semua barisan ekonomi dapat dilaksanakan sepenuhnya melalui RiVAC," katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung RiVAC bolehlah menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) menerusi talian hotline 03-8882 5881/5905 atau melalui e-mel kepada rov@kpdnhep.gov.my.

-- BERNAMA