Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertindak meneruskan boikot terhadap produk-produk keluaran Cadbury walaupun setelah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan tiada penemuan DNA babi dalam produk-produk tersebut.

Memetik kenyataan menerusi laman web PPIM, persatuan tersebut menuntut penjelasan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung dakwaan sebelum ini yang mengatakan terdapat DNA babi di dalam produk coklat Cadbury.

“Kami menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKIM. Walau bagaimanapun, kami berpendapat, pihak yang perlu mengeluarkan kenyataan untuk menafikan kewujudan penemuan DNA Porcine pada produk Cadbury adalah KKM memandangkan tindakan kami bersama NGO lain serta rakyat adalah berdasarkan kenyataan rasmi KKM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, persatuan tersebut akan terus memboikot produk coklat berkenaan jika KKM tidak tampil membuat sebarang kenyataan untuk menafikan dakwaan mereka sebelum ini.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar JAKIM mengembalikan semula keyakinan kepada rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, JAKIM perlu menjelaskan kepada rakyat tentang standard prosedur operasi (SOP) pengeluaran sijil halal kepada syarikat-syarikat yang memohon.

“JAKIM perlu ambil inisiatif untuk menerangkan ‘bagaimana Cadbury boleh mendapat sijil halal pada mulanya?’ serta ‘bagaimana JAKIM akan memastikan perkara sama tidak berulang?’

“Selain itu, saya mencadangkan garis panduan diketatkan bagi syarikat yang ingin memohon sijil halal daripada JAKIM supaya rakyat akan kembali percaya dan yakin kepada JAKIM,” kata Faisal.

Pada Isnin, JAKIM membuat pengumuman bahawa dakwaan KKM sebelum ini mengenai penemuan DNA babi di dalam dua produk Cadbury adalah tidak benar dan mengesahkan kedua-dua produk itu sebagai halal.

Di laman media sosial pula, orang ramai serta pengguna Cadbury sendiri turut melemparkan pandangan masing-masing. Ada yang bersikap positif, ada yang bersikap negatif dan ada juga yang masih lagi was-was dengan pengumuman yang dibuat JAKIM.