KUALA LUMPUR: Empat penjenayah ditembak mati dalam dua kejadian berasingan manakala lima lagi individu diberkas selepas disyaki terlibat kes penculikan seorang lelaki warga China dan wanita tempatan, yang melibatkan wang tebusan RM5.5 juta, di Skudai, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua mangsa diculik pada 11 Julai lalu dan dibebaskan empat hari kemudian di tepi jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan selepas wang tersebut dibayar oleh adik kepada salah seorang mangsa.

Beliau memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, kenderaan yang dinaiki lelaki warga China yang baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama wanita itu dipintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di  susur keluar selepas Plaza Tol Mex menghala Cyberjaya sebelum mereka diculik.

"Siasatan polis mendapati rakyat China ini mengenali wanita tempatan yang menyambutnya di KLIA. Kehilangan mereka dilaporkan oleh teman wanita lelaki itu selepas dia gagal dihubungi.

"Pada asalnya kita siasat kes ini sebagai laporan orang hilang, namun selepas dibebaskan pada 15 Julai lalu, jelas sekali ada perlakuan culik di situ dan susulan itu polis melancarkan beberapa serbuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Mohd Shuhaily menjelaskan, dalam serbuan pertama pada pukul 11.25 malam, Khamis, polis mengekori suspek berusia 51 tahun, yang ketika itu sedang memandu sebuah kereta Perodua Kelisa di Jalan Skudai-Gelang Patah, Johor.

"Namun apabila menyedari dirinya diekori, suspek bertindak memecutkan keretanya dan apabila polis cuba untuk menghentikan kenderaan itu, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.  Anggota polis yang membalas tembakan berjaya menembak mati suspek," katanya.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan pada kereta itu, polis menemui sepucuk pistol dipercayai milik suspek.

"Semakan juga mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah selain pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah," katanya.

Kata Mohd Shuhaily, polis turut melancarkan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai, Johor pada pukul 12.05 tengah malam Jumaat.

"Apabila tiba ke rumah berkenaan, polis memperkenalkan diri dan mengetuk pintu namun tiada individu membuka (pintu). Ketika polis menyerbu masuk, telah kedengaran bunyi tembakan dilepaskan dari beberapa bilik dalam rumah itu.

"Untuk mempertahankan diri, polis turut melepaskan tembakan ke arah suspek dan tembakan itu terkena tiga suspek lelaki yang berusia 35, 39 dan 45 tahun dan disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol," katanya.

Mohd Shuhaily menambah, susulan itu, empat lagi serbuan dijalankan di lokasi yang berasingan di negeri itu dan berjaya menangkap lima suspek termasuk seorang wanita kesemuanya warga tempatan berusia antara 25 dan 43 tahun.

Semakan katanya, mendapati dua daripada suspek lelaki mempunyai rekod lampau jenayah.

"Kita turut merampas tiga pucuk pistol jenis Revolver dan sebilah parang panjang," katanya yang memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ditanya mengenai keberadaan wang tebusan itu, Mohd Shuhaily memberitahu, polis masih lagi menyiasat perkara itu.