Ringkasan AI
- Dua individu, termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), ditahan reman berhubung dengan kejadian samun bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih. 2, Kedua-dua suspek menyerah diri secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. Salah satunya adalah anggota PGA yang menyerah diri pada pukul 1 tengah hari Khamis, dan seorang lagi individu berusia 32 tahun menyerah diri pada pukul 1.40 pagi Jumaat.
- Polis masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini, dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang memperuntukan hukuman mati.
Kedua-dua mereka ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat.
Ini menjadikan keseluruhan empat suspek termasuk tiga anggota PGA ditahan bagi kes itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang secara berasingan.
"Anggota PGA itu serah diri pada pukul 1 tengah hari Khamis manakala seorang lagi individu berusia 32 tahun pada pukul 1.40 pagi Jumaat.
"Kita masih lagi memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Saya yakin dengan penahanan lelaki yang diburu ini, kes ini sudah selesai dan hanya tunggu pendakwaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.
Mohd Shuhaily memberitahu, semakan mendapati lelaki yang menyerah diri pada Jumaat itu mempunyai dua rekod jenayah.
Beliau sekali lagi menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada pegawai kanan atau anggota yang terlibat dalam sebarang salah laku jenayah.
Polis sebelum ini memaklumkan dua daripada suspek berusia 32 dan 35 tahun ditahan di Batalion 19, PGA, Cheras, pada Rabu, manakala seorang lagi suspek berusia 24 tahun menyerah diri kira-kira pukul 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Khamis.
Penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.17 tengah malam, Rabu.
Beliau memberitahu, siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti lebih berat) yang memperuntukan hukuman mati.