KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan ditahan Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska di Puncak Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 6.50 petang.

“Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi tersebut daripada sebuah taska pada 6.15 petang, 13 Dis lalu.

“Lelaki tersebut dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh daripada meja di dalam taska,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hafiz berkata lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya dan bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan perbuatan wanita terbabit yang bekerja di taska berkenaan sejak tiga tahun lepas dan setakat ini empat individu dirakam keterangan.

Suspek direman sehingga 18 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.

-- BERNAMA