KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan susulan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham mendakwa menjadi mangsa buli jalan raya di Kilometer 307 Lebuh Raya Utara Selatan menghala Seremban.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata video kejadian berdurasi 14 saat itu dikongsi Nurul Ilham menerusi laman Twitternya yang tular hari ini, memaparkan sebuah kereta jenis Proton Iriz dipandu di lorong sebelah kanan dalam keadaan perlahan dan menekan brek beberapa kali di lorong sama.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian terbabit tidak melibatkan kemalangan dan kecederaan terhadap kedua-dua pihak.

"Kedua-dua pemandu (termasuk Nurul Ilham) akan dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN) 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil ke balai polis trafik Serdang bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

BACA: Anak Perdana Menteri, Nurul Ilham jadi mangsa buli jalan raya

BACA: Buli jalanan: Polis gesa pemandu Iriz hijau tampil

Terdahulu, Nurul Ilham menerusi hantarannya dalam Twitter mendakwa menjadi mangsa buli pengguna jalan raya ketika memandu bersama anaknya yang berusia dua tahun.

Nurul Ilham mendakwa kejadian itu dikesan apabila dia menghampiri sebuah plaza tol dan pemandu kereta terbabit membunyikan hon ke arah kenderaannya.

-- BERNAMA