Polis Pulau Pinang hari ini telah memulakan siasatan kes kematian seorang lelaki yang didakwa melompat dari bangunan ibu pejabat polis negeri itu ketika suspek sedang disoal siasat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat sama ada terdapat kecuaian di pihak polis dalam kes itu.

Abdul Rahim berkata beliau percaya semua Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dipatuhi ketika melawat tempat kejadian, lapor The Star Online.

"Jika terdapat unsur-unsur kecuaian atau kelalaian di pihak kami, saya tidak akan bertolak ansur. Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil," katanya.

Suspek Tee Ming Hua, 56 ditahan kerana disyaki terlibat dalam lapan kes penipuan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tee semalam maut selepas didakwa menuju ke koridor dan terjun dari bangunan tersebut ketika masih di gari.

Abdul Rahim sebelum ini berkata perkara itu berlaku tiba-tiba dan pegawai penyiasat terlibat tidak sempat untuk bertindak balas.

Beliau berkata demikian kepada wartwan selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pengawal keselamatan Najib Ahmad, 30, yang melumpuhkan satu kejadian rompakan bank di Sungai Dua bulan lalu.