Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun kira-kira pukul 4.29 petang.
"Pada pukul 5.20 petang semalam, pihak polis terkesan satu video tular melalui media sosial memaparkan kejadian beberapa ekor kucing ditemukan mati dan dibuang ke dalam tong sampah. Kami turut menerima laporan polis berhubung insiden berkenaan.
"Laporan polis itu telah diklasifikasikan sebagai rujuk lain agensi dan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 29 saat memaparkan seorang individu merakam video dipercayai lebih 10 ekor kucing dalam bungkusan plastik hitam yang dibuang ke dalam tong sampah besar di tepi jalan.
Sementara itu, Pengarah JPVPP Dr Saira Banu Mohamed Rejab ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah turun ke lokasi penemuan bangkai kucing itu untuk menjalankan siasatan awal.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mendapatkan bukti-bukti berhubung kejadian itu dan mengetahui punca sebenar (kematian kucing-kucing)," katanya.
-- BERNAMA