KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan kejadian mendapan tanah baharu di Jalan Masjid India, pada pagi Selasa.

Pengesahan itu dibuat beliau ketika hadir ke lokasi jam 9.30 pagi untuk meninjau situasi semasa.

Ditanya sama ada pihak berkuasa mempunyai perancangan untuk menutup kawasan berkenaan, beliau memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membincangkan mengenai memperluaskan penutupan jalan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, perkembangan lanjut akan diberitahu pada sidang media petang ini kelak.

Satu mendapan baharu dikesan di sini berhampiran lokasi insiden minggu lalu.

Mendapan baharu itu muncul awal pagi tadi akibat hujan lebat, dianggarkan kira-kira sebesar dua kaki, terletak kira-kira 50 meter dari lokasi insiden minggu lalu.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, bersambung pagi ini.