KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan seorang banduan Penjara Sungai Buloh yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh melarikan diri pada 3.56 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima maklumat melalui talian MERS 999 daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang banduan tiada di katilnya dan disyaki melarikan diri.

Beliau berkata banduan itu dikenali sebagai A. Kalai Kumar, 27, serta memiliki lapan rekod lampau membabitkan empat kesalahan jenayah dan empat kesalahan berkaitan narkotik.

"Polis kini giat menjalankan usaha menjejaki dan menangkap banduan itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan itu supaya melaporkannya dengan segera kepada IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA