KAJANG: Polis merampas syabu seberat 315 kilogram dianggarkan bernilai RM10 juta hasil penahanan seorang lelaki dipercayai 'runner' dalam satu serbuan di tempat letak kereta makanan segera di Kajang Perdana, di sini, malam Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dadah itu ditemukan di dalam kenderaan jenis Honda CRV dipandu lelaki berusia 25 tahun itu.

"Dalam serbuan pada 8.38 malam itu, polis menemukan 15 guni beras mengandungi 20 bungkusan plastik warna kuning teh herba tertera perkataan 'Guanyingwang' yang dalamnya mengandungi dadah disyaki syabu disorok di tempat duduk belakang dan 'boot' belakang.

"Syabu yang dirampas dianggarkan seberat 315 kilogram dan boleh digunakan seramai 1.58 juta penagih dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Khaw berkata siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah berkenaan yang aktif sejak awal tahun ini mendapat bekalan itu dari negara jiran dengan dibawa masuk menerusi negeri di Pantai Timur dan 'runner' berkenaan memperoleh upah sebanyak RM10,000 bagi setiap penghantaran.

"Sindiket ini menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli di Lembah Klang dengan menggunakan kenderaan sama," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai enam rekod lampau iaitu lima rekod jenayah dan satu rekod kesalahan dadah.

"Lelaki itu kini direman enam hari bermula Ahad lepas hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.

-- BERNAMA