Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis syabu dalam serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Selatan dan Kerian di Perak bernilai RM3.4 juta.

Selain itu, mereka juga menahan enam lelaki termasuk seorang warga Bangladesh.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan polis serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) di sebuah rumah teres dua tingkat di Simpang Lima, Kerian.

Dalam operasi yang bermula jam 1.35 pagi hingga 6 pagi itu, polis menyerbu sebuah setor yang menyimpan pelbagai jenis bahan kimia untuk memproses dadah dan merampas 15.12 kg disyaki cecair syabu dan pelbagai bahan kimia.

Turut dirampas wang tunai sebanyak RM1,670 dan menyita sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer bernilai RM50,000 daripada enam lelaki berusia 17 hingga 47 tahun itu.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu mengedar dadah yang dihasilkan mereka di kawasan Semenanjung dan turut mempunyai rangkaian dengan beberapa sindiket dadah antarabangsa di negara-negara Asia Tenggara," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.


Tambahnya, siasatan juga mendapati dua daripada enam lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.