KUANTAN: Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM500,000 yang dirampas dari seluruh negeri ini sejak 2011 hingga tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dadah terbabit sudah melalui proses prosiding mahkamah dan mendapat arahan untuk dilupuskan.

Beliau berkata proses pelupusan akan dilaksanakan esok oleh kontraktor bertauliah di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 8.46 kilogram, methamphetamine (22.04 kilogram), kanabis (237.92 gram), ketamin (237.92 gram), nimetazepam (60.16 gram) dan yaba (149.19 gram). Turut dilupuskan ekstasi (56.06 gram), air ketum (4,840.85 liter) dan kodein (310.69 liter).

"Selain itu, pil psikotropik (0.10 gram) dan lain-lain seperti manitol, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) serta etizolam (190.17 liter dan 127.57 gram) dengan keseluruhannya bernilai RM535,009.15 di pasaran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas perkembangan siasatan seorang ahli bersekutu sebuah pertubuhan yang didakwa menyalahgunakan gelaran Datuk palsu dari Pahang sejak setahun lepas, Yahaya berkata polis sudah mengenal pasti individu terbabit dan sedang mengambil tindakan selanjutnya.

"Individu terbabit berusia lewat 40-an... dia tidak terlibat dengan aktiviti penipuan (bukan guna Datuk untuk tawarkan penipuan pelaburan) tetapi dipercayai menggunakan gelaran Datuk palsu untuk mendapatkan jawatan tertentu," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang terlibat bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum ini, polis menerima laporan daripada sebuah pertubuhan mendakwa seorang individu yang juga ahli bersekutu menggunakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

-- BERNAMA