IPOH: Polis Perak menafikan kononnya seorang pekerja warga Bangladesh maut dibaham harimau, di Pos Raya yang terletak di antara Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, seperti yang tular di media sosial.


Polis juga percaya gambar tersebut yang tidak diketahui sumbernya adalah gambar lama yang ditularkan semula.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau telah membuat semakan dengan Ketua Polis Daerah Ipoh mengenai perkara itu dan didapati ianya tidak benar.


"Saya ingin memberi nasihat dan juga peringatan kepada semua pengguna-pengguna Facebook yang suka memviralkan berita-berita palsu ini untuk berhenti daripada menyebarkan gambar-gambar lama ni,.

"Gambar lama sebenarnya dia sebarkan balik dengan tujuan untuk menggusarkan orang ramai. Maka nasihat saya berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut pasal perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga di bawah Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, pada Khamis.


Terdahulu tular di media sosial Facebook gambar seekor harimau dan rangka manusia yang kononnya milik seorang warga Bangladesh yang dibaham harimau.


Menurut beliau, maklumat-maklumat palsu seperti yang ditularkan itu akan menimbul kegusaran di kalangan orang ramai.


Katanya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat atau berita palsu di media sosial.