Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati kebakaran di tanah milik persendiran dan kerajaan itu berpunca daripada pembakaran terbuka.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan polis, tidak ada sarang dadah di kawasan berkenaan, dan ia merupakan kawasan terbuka.
".. dan tak mungkin penagih akan membakar tempat mereka sendiri... maklumat tepat kita belum dapat, masih dalam siasatan," katanya kepada media selepas Program 'High Profile Policing' dan meninjau bazar Ramadan di Tanjung Lumpur di sini, petang semalam.
Sementara itu Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan tanah gambut yang apinya mudah merebak dan sukar untuk dipadamkan sepanjang musim panas dan kering ketika ini.
Sebelum ini ada pihak mendakwa kebakaran itu bermula di satu kawasan hutan yang sering menjadi tempat berkumpul individu dipercayai penagih dadah.
-- BERNAMA
