KUANTAN: Polis menafikan berlaku insiden sembelih melibatkan seorang remaja di daerah ini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian sebenar melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang telah dicederakan suspek berusia 25 tahun menggunakan garpu di bahagian leher.

Beliau berkata setelah mengalami kecederaan mangsa telah melarikan diri ke rumah jiran dan mengakibatkan berlaku kekocahan antara jiran dan lelaki yang mencederakan kanak-kanak itu.

"Mangsa dan suspek telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan dan kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius serta dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata hasil keterangan lanjut, ahli keluarga suspek memaklumkan lelaki itu seorang pelajar di universiti awam di Terengganu dan mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lepas.

Wan Mohd Zahari berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian urin juga negatif daripada salah guna dadah.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat.

-- BERNAMA