IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Oktober lepas di Taman Mas, dekat Chemor, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, berkata laporan kehilangan wanita kurus berkulit cerah itu, Yusshakina Mohd. Zulkepeli, 34, dibuat oleh ibunya pada 21 Okt lalu di Balai Polis Kampung Tawas, dekat sini.

"Wanita itu tidak tinggal bersama ibunya dan menetap sendiri dan hanya pulang ke rumahnya sekali-sekala jika ada sebarang perayaan atau keperluan.

"Kali terakhir ibunya dapat menghubunginya adalah melalui panggilan telefon pada 5 Dis lepas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, ibu kepada wanita itu memaklumkan bahawa sebelum ini Yusshakina bekerja di sebuah butik bersama rakan-rakannya dan tidak dapat dijejaki sehingga kini.

Justeru, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai individu tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Cheam Aik Theng, di talian 019-5580986 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500.

-- BERNAMA