KAJANG: Polis melepaskan lima das tembakan ke arah dua kenderaan yang merempuh kenderaan polis serta nyaris mencederakan anggota dalam kejadian di Jalan Pekan Batu 11, Balakong, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi berlaku ketika Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang sedang melakukan operasi serta rondaan aktiviti curi kabel di kawasan itu.

Menurutnya, ketika rondaan dilakukan, dua buah kenderaan jenis Nisan Frontier dan BMW dipandu secara melulu ke arah kenderaan polis dan dengan sengaja merempuh kenderaan polis.

"Suspek enggan memberhentikan kenderaannya walaupun diarah berbuat demikian dan keadaan itu mengakibatkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Naazron memaklumkan, kejadian itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan kepada mana-mana individu. 

Susulan kejadian itu, kata beliau, empat lelaki warga tempatan berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah. Polis turut merampas dua buah kenderaan digunakan suspek serta peralatan curi kabel," ujarnya.

Siasatan kes itu katanya, dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana individu, maka pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Beliau memberitahu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama kerana cubaan mencuri wayar kabel, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superitendan Mohd Afiq Mohd Nor di talian 012-2446768 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.