Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di sini itu dipercayai telah melarikan diri selepas kemalangan berkenaan yang berlaku kira-kira 2 petang.
"Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu memandu kereta secara melawan arus dan melanggar beberapa kenderaan di laluan bertentangan di situ sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang cedera.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemandu kereta itu kerana selepas kemalangan berkenaan, lelaki itu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang memandu melawan arus sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain.
-- BERNAMA