KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Castelo, dipercayai dalang kegiatan curi kabel di sekitar Sentul dan Kepong sejak lima bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Castelo, yang dipercayai ketua sindiket curi kabel di Sentul dan Kepong sejak lima bulan lalu.
  • Dalam operasi pada 29 dan 30 November, polis menahan lima individu dan merampas kabel tembaga serta peralatan memotong kabel dengan nilai lebih RM150,000.
  • Siasatan telah menyelesaikan tiga kes kecurian kabel, dan empat suspek didakwa di mahkamah atas kesalahan mencuri dan melupuskan harta curi.


Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata ini susulan penangkapan lima individu dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada 29 dan 30 Nov lalu berkaitan kejadian curi kabel di Jalan Lang Kuning, Kepong.

"Suspek berumur 23 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau, dipercayai mengetuai sindiket mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi sebelum dijual kepada sebuah kedai barangan lusuh di Gombak dengan harga RM32 sekilogram selepas dibakar.

"Sindiket ini menjalankan kegiatan antara pukul 4.30 pagi hingga 6 pagi, menyamar seperti melakukan kerja-kerja penyelenggaraan untuk mengelak dikesan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata operasi pada 29 dan 30 Nov itu turut membawa kepada rampasan dua kereta, termasuk sebuah kenderaan milik isteri seorang daripada suspek dan sebuah lagi disewa, serta sebuah lori dipercayai kenderaan curi di Kajang. Selain itu, pelbagai jenis kabel dalam pelbagai saiz turut dirampas.

Beliau berkata polis turut merampas satu guni berisi kabel tembaga seberat 840 kilogram serta beberapa peralatan memotong kabel, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM150,000.

"Hasil siasatan, kami berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian kabel di sekitar Sentul. Semakan mendapati semua suspek, berusia 19 hingga 52 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Empat daripada lima suspek telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.

"Seorang lagi suspek telah dibebaskan," katanya.

-- BERNAMA