ALOR SETAR: Polis Kedah menerima satu laporan berkaitan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa terdapat seorang lelaki warganegara China bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan itu dibuat seorang wanita yang juga Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 5.57 petang Ahad.

"Wanita itu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Saifuddin yang tular dalam media sosial pada 27 Julai lalu menyatakan terdapat seorang lelaki China bekerja dengan MBI Kedah.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Dalam siri ceramah sebelum ini, Saifuddin telah beberapa kali membuat dakwaan kononnya terdapat lelaki warganegara China yang dibawa masuk dan diambil bekerja dengan MBI bagi projek unsur nadir bumi (REE).

Dalam perkembangan lain, Alzafny memaklumkan, Polis Kedah juga setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai ucapan menyentuh perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

"Secara keseluruhannya terdapat 59 ceramah diadakan di seluruh Kedah semalam iaitu 10 melibatkan Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH), 38 Perikatan Nasional (PN) dan enam Bebas.

"Setakat ini Kota Setar merekodkan jumlah ceramah terbanyak iaitu 13, diikuti Kulim (7), Baling (6) dan Kubang Pasu (5)," katanya.