Polis Kedah akan memperluaskan penggunaan sistem kod bar pada setiap motosikal susulan keberkesanan sistem itu yang mampu mengurangkan 25.3 peratus kes kecurian motosikal di Pulau Langkawi tahun lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata daripada 190 kes curi motosikal yang dilaporkan di Langkawi pada 2015, ianya turun kepada 142 tahun lalu hasil penggunaan kod bar yang diperkenalkan kali pertama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

"Sistem ini kita akan buat di seluruh Kedah pula dengan sasaran 30 peratus pengurangan kes curi motosikal.

"Kita juga akan mengadakan kempen mengenainya kepada pengeluar-pengeluar motosikal sebelum sistem ini dilaksanakan menjelang Mac ini secara percuma," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Melalui sistem itu, sebuah pangkalan data akan dibangunkan polis yang akan menyimpan maklumat berhubung pemilikan sesebuah motosikal dan penama yang dibenarkan menggunakannya.

Pangkalan data itu mampu memudahkan usaha mencari suspek curi motosikal sekali gus mempercepatkan lagi proses siasatan.

Pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu dengan polis sebelum diberikan satu pelekat kod bar untuk ditampal pada motosikal dan maklumat kenderaan itu boleh dipaparkan sejurus kod bar diimbas menggunakan telefon pintar.

-- BERNAMA