Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi melibatkan 14 pegawai kanan dan 54 pegawai rendah polis itu menyasarkan usaha membanteras kegiatan pelacuran, pelayan pelanggan (GRO) dan elemen kongsi gelap di premis pusat hiburan.
Beliau berkata, susulan itu, 11 lelaki dan seorang wanita tempatan serta 16 lelaki dan 161 wanita warga asing berusia dalam lingkungan 18 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pelanggan mendapati 16 lelaki tempatan dan 12 wanita warga asing positif dadah," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, resit bayaran, mikrofon, televisyen dan wang tunai berjumlah RM2,510 dirampas, katanya.
Kumar berkata, dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, pihaknya menahan enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki dan enam wanita warga asing kerana bermain judi selain merampas wang tunai berjumlah RM83,100 dan peralatan judi.
“Kesemua tangkapan warga tempatan dipohon tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah manakala tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan sah serta melakukan kesalahan bekerja tanpa permit pula direman di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor telah melaksanakan 388 serbuan di pusat hiburan seluruh negeri dengan penangkapan 1,910 individu termasuk 1,699 warga asing atas pelbagai kesalahan, dari Januari tahun ini hingga semalam.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau bilik gerakan di 07-2212999,” katanya. - BERNAMA